Utamakanlah Aspek Etika Berbahasa dalam Media Baharu

Oleh Zaidi Ismail

Pengguna media baharu perlulah mengutamakan aspek etika berbahasa dalam media itu. Pemantau bebas daripada kalangan pembekal perkhidmatan media baharu perlu diberi kuasa untuk mengingatkan pengguna media baharu supaya berbahasa dengan betul dan santun.

Kini, media yang paling popular ialah internet. Di dalamnya ada pelbagai bentuk media baharu, seperti media sosial, blog, laman web serta akhbar dan majalah dalam talian. Sejauh manakah bahasa Melayu diutamakan dalam media ini? Untuk mengetahuinya, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual dua orang Munsyi Dewan, Mohamad Musip dan Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad, untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa dalam media baharu.


“Bagi saya, kedua-dua media itu perlu menggunakan bahasa yang betul dan santun. Media lama lebih menuntut ketepatan dan kesantunan bahasa kerana hanya itulah kuasa yang ada untuk mempengaruhi pembaca supaya menyukai tulisan penulis. Bagi media baharu, khususnya Facebook, saya sudah membuat aku janji kepada diri sendiri bahawa media baharu itu merupakan alat untuk menampilkan suri teladan dalam berbahasa. Hal ini saya rasakan wajar kerana saya sebagai pendidik bahasa semestinya menunjukkan keterampilan berbahasa, apatah lagi tulisan akan terpapar kepada khalayak secara merentas sempadan geografi, selagi bahasanya difahami. Tegasnya, media baharu sesuai sekali berfungsi sebagai media dakwah bahasa, selain dakwah kerohanian.”

Mohamad Musip


“Penggunaan bahasa melalui media baharu pula, seperti Facebook atau Twitter, pada hakikatnya belum mencapai tahap penggunaan bahasa baku secara maksimum. Sukar untuk seseorang guru bahasa Melayu atau pakar bahasa membaiki kesalahan bahasa melalui laman sosial tersebut kerana penggunanya teramat banyak. Walau bagaimanapun, sebagai pencinta bahasa, kita sememangnya bertanggungjawab untuk bersama-sama menegur seseorang secara maya dan berhemah betapa perlunya seseorang pengguna laman sosial itu menggunakan bahasa Melayu baku dalam Facebook atau Twitter.”

Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply