Melestarikan Terbitan Bahasa Melayu

Oleh Diarani Mat Adam

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur, pada 16 April 2012 telah berlangsung majlis “Wacana Penulisan dan Penerbitan Bahasa Melayu di Malaysia”. Dalam ucapan perasmian wacana ini, Ketua Pengarah PNM, Dato’ Raslin Abu Bakar berkata, bagi memastikan bahasa Melayu terus unggul sebagai bahasa utama negara, PNM turut memainkan p e r a n a n p e n t i n g d a l a m menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu selaras dengan fungsinya yang termaktub dalam Akta Perpustakaan Negara 1972 (Akta 80), iaitu “bekerjasama dengan agensi yang berkaitan untuk menggalakkan dan meningkatkan penggunaan dan perkembangan bahasa Malaysia.”

Kata Raslin lagi, wacana ini merupakan antara 15 program utama pembudayaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang dirancang oleh PNM pada tahun ini. PNM mengadakan program tersebut untuk memberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat tentang penulisan dan penerbitan, sekali gus sebagai usaha ke arah meningkatkan penerbitan buku dan bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Sehingga Mac 2012, PNM telah menerima sebanyak 60 885 judul buku dalam bahasa Melayu yang diserahkan oleh penerbit sesuai dengan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986. Akta ini merupakan satu daripada strategi yang dijalankan oleh PNM bagi meningkatkan jumlah penerbitan negara.

Raslin menambah, “Dalam pada kita mengejar sasaran dari segi kuantiti, aspek kualiti bahan bacaan, khususnya dari segi isi kandungannya, tidak harus kita abaikan. Penulis bukan sekadar merakamkan ilmu, citra dan cetera yang berlaku dalam masyarakat pada zamannya, tetapi juga dalam masa yang sama, mampu membawa mesej berguna untuk diteladani dan diambil pengajaran oleh mereka yang membaca karyanya.”

Wacana sehari diisi dengan dua sesi bual bicara. Pada sebelah pagi, diadakan sesi “Bual Bicara Senario Penerbitan Ilmiah Bahasa Melayu di Malaysia”, yang menampilkan Dr. Roosfa Hashim, ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang banyak terlibat dalam penulisan dan penerbitan ilmiah. Beliau telah membicarakan perkembangan penerbitan buku ilmiah di Malaysia.

Pada sebelah petangnya pula, sesi “Bual Bicara Bersama Novelis Popular” dijayakan oleh tiga orang novelis popular tanah air, iaitu Norzailina Md. Nordin, Nurul Azalila Ahmad Sahimi (Areila Sahimi) dan Abdul Halim Toha (Pingu Toha). Para penulis novel ini telah berkongsi pengalaman tentang liku serta keistimewaan kerjaya sebagai penulis dan penerbit. Mereka juga memberikan panduan berguna untuk berjaya sebagai penulis novel.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012

Leave a Reply