Ilmu Malayonesia: Telah, Lani dan Kelak

WACANA KETERLESTARIAN ILMU

Oleh Diarani Mat Adam

Pada 29 Mac 2012, di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, t e l a h berlangsung Wacana Kelestarian Ilmu, “Ilmu Malayonesia: Telah, Lani dan Kelak”. Wacana kali ini disampaikan oleh Profesor Dr. Shaharir Mohamad Zain, Felow Penyelidik Kanan, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya.

Dalam wacana tersebut, Shaharir menghuraikan bukti bahawa tamadun Malayonesia, terutamanya yang menggunakan bahasa Melayu, telah “melahirkan” sains dan matematiknya sendiri, yang sesetengahnya mendahului tamadun lain yang sezaman dengannya. Ilmu Malayonesia didapati berbeza daripada ilmu tamadun lain sejak dahulu hingga kini. Ada bukti menunjukkan bahawa banyak ilmu Malayonesia itu “terdampar” atau “terkambus” oleh serangan penjajah pemikiran, sedangkan ternyata ilmu ini relevan untuk dibangunkan sebagai ilmu moden. Yang menariknya, ilmu ini mampu memberikan dimensi baharu kepada ilmu kini dan berpotensi menjadi penyumbang ilmu dunia yang tersendiri, bukan sekadar penyambung lidah ilmuwan tamadun lain.

Menurut Shaharir, ilmu Malayonesia ialah ilmu yang ditulis, sama ada hasil terjemahan ataupun karya asli, dalam bahasa Melayu atau rumpunnya, seperti Campa dan Jawa. Ilmu Malayonesia yang dibuktikan wujud sejak zaman pra-Islam itu terbahagi kepada tiga kategori, iaitu ilmu Malayonesia pra-Islam (sebelum abad ke-13 Masihi), Islam (abad ke-13 Masihi hingga ke-19 Masihi) dan moden (abad ke-20 hingga kini). Pengelasan ilmu Malayonesia ini dikatakan berlaku lebih awal daripada pengelasan ilmu yang wujud di Eropah.

Shaharir dapat membuktikan bahawa mantik burhan warisan tamadun Islam diketahui oleh ahli mantik Malayonesia sejak abad ke-17 lagi dan manuskrip mantik Malayonesia Islam yang tertua setakat ini dipercayai ditulis oleh al-Ranyry. Ahli astronomi dan kosmologi Malayonesia juga telah mengenali bulan, bintang dan planet. Walaupun tidak mempunyai teori tertentu, dapat dihipotesiskan bahawa adanya bintang yang telah ditemukan oleh ahli astronomi Malayonesia pra-Islam, seperti bintang Dara dan Wethu.

Kajian ilmu Malayonesia pada prasasti dan manuskrip membuahkan cabaran kepada ahli sains hayat untuk memberikan nama sains kepada ratusan flora dan fauna yang belum dikenali pada zaman ini. Kajian ilmu Malayonesia juga membuahkan kajian yang ampuh tentang hipotesis “bahasa kalbu ilmu” atau “bahasa penemu ilmu” dalam setiap bidang kontemporari.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012

Leave a Reply