Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi: Terpinggir atau Dipinggirkan?

Oleh HAMDAN AZMI ABD. AZIZ dan NOOR ROHANA MANSOR

Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996. Yang membimbangkan kita ialah taraf dan peranan tersebut kini semakin didominasi oleh bahasa Inggeris, terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT), baik awam mahupun swasta. Jika tidak dibendung, bahasa Melayu akan menjadi seperti “melukut di tepi gantang”.

Benarkah bahasa Melayu tidak mampu menggalas fungsi sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi? Kedudukan bahasa Melayu sekarang berbeza jika dibandingkan dengan zaman awal pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan pada 1980-an dahulu. Pada waktu itu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di IPT. Taraf bahasa Melayu berada di puncak kegemilangan apabila semua kursus peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diajarkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pada tahun 1987. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan IPTA lain dalam melahirkan cerdik pandai yang berjiwa kebangsaan telah mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kini, para pejuang bahasa berganding bahu untuk kembali memperkasakan bahasa Melayu. Alasan untuk mempercepat kemajuan sains dan teknologi negara melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris telah meninggalkan kesan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seperti yang telah digariskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Hal ini berlaku kerana kesangsian golongan tertentu terhadap keupayaan bahasa Melayu sehingga sanggup memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pengajian di IPT.

Sesetengah pihak berpendapat, untuk mempercepat kemajuan negara, kita perlu mengubah penggunaan bahasa dalam proses pemerolehan ilmu. Kelemahan menguasai bahasa Inggeris akan mengakibatkan usaha untuk menjadi negara maju menjelang 2020 tidak akan tercapai. Ada yang beranggapan, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dijalankan sebelum ini tidak mampu melahirkan graduan yang berkualiti.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012

Leave a Reply