Seni Penyimpangan Bahasa dalam Stilistik

Oleh Nur Fatiha Fadila

Nils Erik Enkvist mendefinisikan gaya sebagai penyimpangan daripada norma. Mana Sikana turut bersetuju dan menyatakan bahawa “menyalahi norma” itu sebagai deviasi terhadap tatabahasa dan sistem bahasa itu sendiri.

Walau bagaimanapun, penyimpangan dari sudut tatabahasa tidaklah bermaksud pengguna bahasa lepas bebas dalam memanipulasikan bahasa. Deviasi dilakukan dengan penuh kesedaran. Hal ini memerlukan penulis mempunyai daya kreatif yang tajam serta berkeupayaan bahasa yang tinggi.

Dharmawijaya menyatakan bahawa penyimpangan atau deviasi bahasa bererti penggunaan bahasa yang memperlihatkan kelainan daripada kebiasaan atau kelaziman sistemnya yang telah dikenal dan diterima oleh masyarakat bahasa itu sendiri. Kerap kali pula kelainan daripada kelaziman itu disebut sebagai penyimpangan daripada norma dan menyalahi tatabahasa.

Persoalan penyimpangan bahasa merupakan satu gaya yang begitu dominan yang didorong oleh faktor dunia pencipta dan dunia sastera itu sendiri.

Menurut Dharmawijaya, terdapat sembilan jenis penyimpangan bahasa yang sering ditemui, iaitu penyimpangan leksikal, semantik, fonologi, morfologi, sintaksis, dialek, register, historis dan grafologi. Namun demikian, tidak semua jenis penyimpangan ini terdapat dalam sesebuah karya. Dharmawijaya, tokoh penyair yang cemerlang dalam membentuk idiosinkrasi dan melakukan penyimpangan bahasa dengan baik menerusi puisinya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012

Leave a Reply