Bahasa dan Sastera Tonggak Kegemilangan Bangsa

Oleh ZUL FIKRI ZAMIR MOHAMAD MUNIR

Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah, “peradaban dan martabat sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui karya bahasa dan sastera yang dimilikinya. Karya tersebut menjadi khazanah bangsa yang amat bernilai, malah diibaratkan sebagai dua entiti yang saling melengkapi.” Ini disokong oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penghayatan dan Peningkatan Ilmu dalam Pelbagai Bidang Melalui Bahasa Kebangsaan: Cabaran dalam Dunia Pendidikan Masa Kini dan Masa Hadapan, “selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.”

Menurut Annas Ahmad dalam bukunya, Sastera Melayu Lama dan Baru, perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit “castra” yang membawa erti seni sastera atau seni persuratan. Menurutnya lagi, ketika menghuraikan kesusasteraan, kita tidak dapat melupakan bahasa kerana bahasalah yang menghubungkan antara dua orang.

Oleh yang demikian, bahasa dan hasil kesusasteraan merupakan sebahagian daripada warisan peradaban bangsa. Bahasa juga mencerminkan perubahan sosial sesuatu bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Maju bahasa, majulah bangsa. Antara slogan yang biasa dilaungkan oleh pejuang bahasa untuk menaikkan semangat patriotisme dan kemerdekaan daripada penjajah termasuklah “bahasa melambangkan bangsa” dan “bahasa jiwa bangsa”. Tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa, melainkan bahasa bangsa itu sendiri. Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik budaya yang berlainan, bahasa berupaya menjadi teras peradaban bangsa Malaysia pada masa akan datang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

One thought on “Bahasa dan Sastera Tonggak Kegemilangan Bangsa”

Leave a Reply