Bahasa Latah: Puji dan Caci

Oleh Wan Robiah Meor Osman

“Oh pocot mak nenek engkau!”, kata yang terkeluar daripada si pelatah secara bawah sedar apabila diusik atau dikejutkan secara sengaja oleh seseorang dan tujuannya hanyalah sekadar hiburan untuk menggamatkan suasana. Keadaan melatah ini juga merupakan hiburan yang lazim melatari majlis keramaian masyarakat Melayu, seperti majlis pertunangan, perkahwinan, cukur jambul dan terima menantu.

Kebanyakan aksi latah menjadi sinonim dengan majlis keramaian yang berorientasi kegembiraan dan kegirangan. Aksi ini jarang-jarang atau sukar dijumpai bagi majlis berorientasikan kedukaan, seperti kematian, kenduri bacaan tahlil dan doa selamat. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa perlakuan latah merupakan aktiviti sampingan yang menghiburkan orang yang mengusik dan menontonnya.

Perlakuan latah sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu, khususnya dan masyarakat Asia Tenggara umumnya. Kebanyakan aksi latah ini sering dilakukan oleh perempuan yang berusia dan tinggal di kampung. Fenomena bahasa latah ini jarang-jarang ditemukan dalam kalangan lelaki, begitu juga dengan warga kota kini.

Latah dikatakan sejenis penyakit saraf yang boleh menyebabkan seseorang tidak menyedari apa-apa yang sedang dilakukan dan kebiasaannya didapati pada perempuan yang berumur. Menurut pakar psikologi, Dr. William S. Buroughs, latah ialah situasi terkejut yang melampau yang dialami oleh seseorang dan sering ditemukan di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa sahaja dan kebanyakannya wanita. Perlakuan latah ini juga dikatakan kebiasaan yang tidak berkaitan dengan penyakit tetapi dipercayai berkaitan rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan persekitaran sosial.

Pakar perunding psikiatri, Profesor Dr. Mohd. Razali Salleh, pula menyatakan bahawa latah bukanlah tergolong dalam kategori kecelaruan mental. Hal ini dikatakan demikian kerana latah tidak memudaratkan individu yang melatah atau orang lain jika dibandingkan dengan masalah kesihatan yang lain. Latah disifatkan sudah sebati dengan jiwa dan budaya masyarakat di Malaysia dan menjadi fenomena biasa yang menghiburkan.

Perlakuan latah ialah tindakan pantas atau spontan akibat kejutan. Perlakuan ini boleh dikategorikan kepada dua bentuk, iaitu dari segi perkataan dan tingkah laku. Kedua-duanya akan menyebabkan individu terlibat mengulangi perkataan yang diperkatakan atau meniru aksi orang yang mengusiknya secara berulang-ulang dan berterusan sehinggalah individu yang mengusiknya berhenti. Kebiasaannya orang yang melatah ini akan berasa letih setelah selesai aksi latah. Namun demikian, terdapat juga individu yang melatah bukan kerana usikan orang tetapi kejutan sendiri, seperti barang yang terjatuh, terlanggar sesuatu atau terlihat sesuatu yang memeranjatkan. Apabila situasi ini berlaku, individu tersebut secara spontan akan menuturkan perkataan yang lazim digunakan semasa melatah.

Pertuturan melatah dalam masyarakat Melayu boleh dikategorikan kepada dua bentuk, iaitu sama ada pujian ataupun cacian. Faktor yang menyebabkan seseorang individu itu menggunakan salah satu atau kedua-dua bentuk ini sukar dikenal pasti dan diketahui. Kebanyakan situasi melatah bergantung pada pengalaman, persekitaran sosial dan kebiasaan penggunaan perkataan. Kecenderungan individu memilih perkataan berbentuk pujian atau cacian kemungkinan disebabkan oleh kebiasaan. Jika individu tersebut biasa menggunakan perkataan yang positif, apabila melatah tanpa diusik, iaitu kejutan sendiri, maka perkataan yang akan dikeluarkan secara spontan selalunya berdasarkan perkataan yang lazim digunakan, begitu juga sebaliknya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply