Unsur Sakral dalam Bahasa

Oleh MUNIF ZARIRRUDDIN FIKRI NORDIN

Bahasa antara lain ditakrifkan sebagai lambang arbitrari yang mengandungi makna. Berdasarkan takrif ini, bahasa terdiri daripada dua komponen asas, iaitu lambang dan makna.

Lambang merujuk apa-apa bentuk pengungkapan secara lisan atau apa-apa bentuk coretan secara bertulis. Makna pula merujuk mesej atau maklumat yang terkandung dalam lambang berkenaan.

Oleh sebab lambang dan makna merupakan komponen asas, hubungan antara kedua-duanya ialah hubungan simbiotik yang saling melengkapi. Dengan kata lain, tiada lambang tanpa makna, dan begitu juga sebaliknya, tiada makna tanpa lambang.

Terdapat pelbagai faktor yang membentuk simbiosis lambang dan makna. Salah satu faktor yang dimaksudkan ialah agama.

Dalam perbincangan ini, makna agama berbataskan makna kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-Nya, serta penerimaan ajaran dan perintah-Nya dengan penuh pengetahuan dan ketaatan. Dalam Islam, kepercayaan kepada Tuhan tergolong dalam aspek akidah, manakala penerimaan ajaran dan perintah-Nya termasuk dalam aspek syariah dan akhlak.

Dalam simbiotik melambang dan makna, agama berfungsi bukan hanya dalam pembekalan maklumat deskriptif dan spekulatif, seperti unsur ketuhanan, tetapi juga berfungsi dalam penyediaan prinsip normatif tentang penggunaan lambang bagi unsur ketuhanan tersebut. Maklumat deskriptif dan spekulatif ialah makna yang diperihalkan dan dihuraikan, sementara prinsip normatif pula ialah adab penggunaan bahasa dalam pemerihalan dan penghuraian tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply