Perkembangan Bahasa Melayu dan Transisi Pemblog

Oleh Dahiri Saini

Berdasarkan direktori Eaton Web, di negara kita terdapat sekitar 500 ribu blog. Mengulas perkembangan tersebut, Dr. Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, berkata antara perintis awal blog di negara ini termasuklah sekumpulan pemblog yang membentuk komuniti Geng Journal pada tahun 1998.

Pemblog veteran, Rebecca Blood, yang juga pengarang The Weblog Handbook, mengatakan bahawa pemblog ialah orang yang berminat terhadap web. Pengasas Blogger.Com, Evan Williams, pula berpandangan bahawa pemblog merupakan golongan muda yang menggunakan blog untuk berkomunikasi. Data tersebut membuktikan bahawa blog merupakan wahana komunikasi yang bukan sahaja popular, malah berkesan dan berpengaruh untuk diberi tanggungjawab memperkembangkan bahasa Melayu, khususnya di Malaysia.

Negara kita merupakan negara keempat di dunia yang paling banyak mengakses blog untuk tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak semua ahli akademik bahasa akur dan memberikan kredit kepada pemblog untuk perkembangan bahasa Melayu. Wan Robiah Meor Osman, dalam makalahnya “Bahasa Blog yang Kacau” (Dewan Bahasa, Mac 2008) menyatakan bahawa pemblog seperti tidak dapat diberi mandat atau peranan dalam memperkasakan bahasa Melayu dengan betul kerana mencatatkan apa-apa sahaja dalam blog mereka.

Menurut Wan Robiah lagi, berdasarkan pemerhatiannya, pemblog suka menggunakan gaya bahasa yang dianggap “kacau”, seperti menggunakan perkataan yang tidak dieja dengan betul, bahasa rojak dan bahasa pasar. Hal tersebut jelas menunjukkan berlakunya pengabaian penggunaan bahasa Melayu yang baik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply