Bahasa Melayu dalam Media Baharu: Sejauh Manakah Diutamakan?

Oleh Zaidi Ismail

Kini, media yang paling popular ialah media internet. Di dalamnya ada pelbagai bentuk media yang dianggap sebagai media baharu, seperti laman web, majalah dan akhbar dalam talian, blog, dan laman sosial.

Media tersebut secara umumnya dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu media rasmi dan media peribadi. Media rasmi, seperti laman web, biasanya dibina oleh sesebuah organisasi atau pertubuhan untuk memperkenalkan organisasi berkenaan kepada khalayak yang lebih luas. Bagi organisasi yang menyediakan sesuatu perkhidmatan pula, media ini juga dapat digunakan oleh khalayak untuk mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian. Akhbar dan majalah dalam talian juga termasuk dalam media rasmi. Blog dan laman sosial, seperti Facebook, Myspace dan Twitter, pula merupakan media baharu yang lebih bersifat peribadi. Media ini biasanya dibina oleh seseorang untuk tujuan peribadi.

Sejauh manakah bahasa Melayu diutamakan dalam media tersebut? Indirawati Zahid dalam makalahnya, “Bahasa Melayu Terpinggir dalam Media Baharu?”, menyatakan bahawa jenis bahasa yang digunakan dan kualitinya akan ditentukan oleh pembina media itu sendiri. Oleh itu, pengguna bahasa mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan kualiti bahasa yang akan digunakan dan diterima pakai.

Persoalan peminggiran bahasa Melayu secara menyeluruh sebenarnya tidak berlaku kerana rata-rata pembina atau pengasas media baharu masih tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utamanya. Yang agak terpinggirnya adalah kualiti bahasa Melayu yang digunakan untuk berinteraksi dalam laman sosial dan blog peribadi, seperti pengguna bahasa rojak, bahasa pasar dan slanga serta singkatan kata sesuka hati.

Penggunaan bahasa dalam media ini sukar dikawal kerana tiada peraturan bahasa yang “mengikatnya”. Kualiti penggunaan bahasa dalam media ini banyak bergantung pada kesedaran dan tahap pengetahuan bahasa penggunanya. Sebagai langkah awal, penggunaan bahasa dalam media baharu itu perlulah dipantau sebagaimana yang dilakukan terhadap kandungan bahan atau tulisan yang disiarkan dalam media tersebut. Sekiranya tiada pemantauan dan teguran dilakukan, masalah kecelaruan penggunaan bahasa dalam media ini akan semakin parah.

Kesannya nanti, bahasa Melayu mungkin tidak akan dipandang tinggi lagi oleh masyarakat dan sukarlah untuk menjadikannya sebagai salah satu bahasa utama dunia yang berwibawa. Hal ini turut menjejaskan kewibawaan bangsa yang menuturkannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply