Bahasa Melayu Terpinggir dalam Media Baharu?

Oleh Indirawati Zahid

Perkembangan teknologi semasa menyaksikan munculnya penggunaan bahasa yang pelbagai bentuk dan struktur yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran kita sebagai pengguna bahasa. Situasi sebegini tidak hanya berlaku terhadap bahasa Melayu, sebaliknya hampir semua bahasa di dunia ini tergugat dengan perkembangan teknologi yang bersifat global ini. Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa juga, misalnya, tidak terlepas daripada cengkaman letusan teknologi yang bersifat ringkas, pantas, padat dan berinformasi.

Tinjauan penggunaan bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan media internet, iaitu teknologi komunikasi tercanggih semasa, memaparkan beberapa perspektif tentang penggunaan bahasa. Polemik yang timbul adalah sejauh manakah bahasa Melayu digunakan? Adakah bahasa Melayu terpinggir dalam media baharu yang sedang berkembang pantas hari ini? Adakah betul bahasa Melayu tidak diberi keutamaan?

Persoalan ini perlu dicari jawapannya dari pelbagai perspektif, iaitu apa yang dikatakan sebagai terpinggir atau tidak diberikan keutamaan? Terpinggir atau tidak diberikan keutamaan dengan maksud diketepikan penggunaannya dalam sesuatu aspek atau terpinggir dari aspek kualiti bahasa yang digunakan? Semua persoalan ini pasti mempunyai jawapannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua persoalan yang berbangkit ini kemungkinannya juga sedang berlaku pada bahasa Melayu dalam media yang canggih ini.

Terpinggirnya bahasa Melayu dalam media internet dapat diklasifikasikan kepada dua perkara, iaitu yang pertama, kurangnya frekuensi penggunaan bahasa Melayu, dan yang kedua, kualiti penggunaan bahasa Melayu yang amat rendah dengan wujudnya situasi seperti campur aduk bahasa asing, singkatan dan slanga.

Media internet, misalnya, menyediakan pelbagai saluran komunikasi, sama ada dalam laman blog, laman web ataupun laman sosial, yang digunakan untuk menyampaikan segala macam maklumat yang mempunyai objektif tertentu yang ingin dicapai oleh pengasasnya. Sehubungan dengan itu, yang menentukan sama ada terpinggir ataupun tidak bahasa Melayu dalam media internet ialah pengasas dan pengguna media itu sendiri. Hal ini juga sekali gus akan berkaitan dengan aspek kualiti bahasa Melayu yang digunakan dalam media itu.

Yang lazim berlaku, pengasas sesebuah laman akan menyediakan kerangka laman dalam bahasa ibunda atau bahasa sumber pengasasnya. Pengisiannya pula boleh sahaja daripada apa-apa bahasa pengguna laman tersebut. Perkara seperti ini dapat dilihat dalam laman sosial, seperti Facebook (Fb), yang rata-rata penggunanya menggunakan kerangka asal, iaitu bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

One thought on “Bahasa Melayu Terpinggir dalam Media Baharu?”

  1. Saya fikir bahasa Melayu tidak dipinggirkan kerana kurangnya minat, tetapi lebih kepada keperluan.

    Kebanyakan syarikat menggunakan bahasa Inggeris untuk laman mereka kerana bahasa laman perlu mesra dengan tetamu global.

    Menggunakan dua bahasa (Melayu & Inggeris) untuk sesuatu laman mungkin ideal untuk pengunjung. Tetapi ia memerlukan pengorbanan masa dan kos yang tinggi untuk pengendali laman.

    Jika anda di pihak pengendali laman (yang maklumatnya adalah untuk pengunjung seluruh dunia), apa yang akan anda buat?

Leave a Reply