Kad Undangan Perkahwinan Pengukuh Bahasa dan Tradisi Melayu

Oleh Sharil Nizam Sha’ri

Pemberian dan kiriman kad undangan ke majlis perkahwinan masih dipraktikkan dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Majlis perkahwinan yang kini diadakan tanpa mengira waktu atau musim cuti sekolah menjadi wadah penggunaan kad jemputan kepada para tetamu undangan.

Bagi sesetengah individu, kad undangan dianggap biasa dan tidak bermakna. Lain pula halnya dengan pasangan pengantin yang menganggap kad tersebut mempunyai nilai dan merupakan pengikat kasih sayang antara mereka. Di samping itu, kad undangan juga dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan merapatkan hubungan sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk hadir bagi meraikan majlis penyatuan dua jiwa. Tanpa disedari, kad undangan perkahwinan mempunyai keunikan bahasa yang tersendiri yang jarang-jarang dijadikan fokus kajian oleh penyelidik.

Menurut Atikullah Abdullah dan Mohd. Shukri Hanafi, biarpun negara dan masyarakat menghadapi era globalisasi yang menyaksikan pelbagai bentuk budaya hidup baharu dan menjanjikan pelbagai perubahan dalam aspek k-ekonomi, k-masyarakat, pendidikan dan sebagainya, ternyata penggunaan kad undangan dalam masyarakat Melayu masih relevan dan “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”.

Menurut Faisal Rosman dan Che Ibrahim Salleh, secara umumnya, bahasa yang terkandung dalam kad undangan perkahwinan menepati definisi bahasa. Bahasa ialah penggunaan bunyi, tanda dan simbol tulisan secara sistematik dan konvensional dalam masyarakat manusia untuk berkomunikasi dan penyataan kendiri. Bahasa juga merupakan kod dan di situ idea tentang dunia digambarkan melalui sistem isyarat konvensional yang arbitrari bagi tujuan komunikasi, kerjasama, interaksi dan pengenalan diri. Penjelasan ini menunjukkan bahawa bahasa ialah satu set prinsip sarwajagat yang sangat khusus, yang merupakan sifat intrinsik minda manusia dan sebahagian anugerah baka spesies manusia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012

One thought on “Kad Undangan Perkahwinan Pengukuh Bahasa dan Tradisi Melayu”

Leave a Reply