Dutch, Deutsch, Holland dan Netherlands

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Belanda pernah menjadi kuasa besar pada abad ke-17, meliputi kuasa laut dan ekonomi dengan jumlah kapal dagang yang pernah mencatatkan 16 ribu buah. Hal ini menggambarkan kemakmuran dan kekuasaan negara yang mempunyai sistem pemerintahan raja berperlembagaan.

Era ini dikenali sebagai Era Keemasan dan pada ketika itu, Belanda digeruni oleh kuasa lain, termasuklah Inggeris dan Portugal. Kuasa besar ini membolehkan Belanda meluaskan tanah jajahan dan perdagangan. Bukan sahaja di Asia seperti di Batavia, tetapi lebih awal lagi membina penempatan yang dikenali sebagai New Amsterdam di Amerika Utara. Pelayaran yang luas ini juga meliputi Afrika Selatan dan membentuk koloni di Cape. Demikian ampuh Belanda dalam rentetan sejarah perdagangan dan imperialisme dunia.

Belanda terlibat dalam pembentukan Dutch East India Company atau Verenigde Oost-indische Compagnie (VOC) pada tahun 1602. Pembentukan ini telah mengukuhkan kekuasaannya sebelum dibubarkan kerana telah bankrap pada tahun 1800 dan digantikan sebagai Dutch East Indies atau dikenali sebagai Hindia Belanda di bawah pemerintahan empayar Belanda. Perkataan Indies berasal daripada perkataan Latin, iaitu Indus yang bermakna Indian. Variasi ungkapan Indian ini dalam ungkapan Indonesia ialah Hindia.

Dalam bahasa Belanda, Dutch Indies disebut sebagai Nederlandsch-Indie. Ungkapan Dutch East Indies ditemui dalam dokumen Dutch East India Company seawal tahun 1620 dan berbeza-beza daripada peranan Dutch West Indies yang lebih dikenali sebagai Chartered West India Company yang diusahakan oleh pedagang Belanda untuk memonopoli perdagangan hamba Afrika, Brazil dan Amerika di lautan Karibia yang merupakan kawasan dikenali sebagai “Barat Indie”.

Belanda ialah ungkapan Melayu/ Indonesia yang merujuk negara dan penghuninya. Di kebanyakan negara, istilah Netherlands tidak wujud kerana penggunaan istilah Holland lebih dominan, khususnya dalam ungkapan bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam masyarakat tradisi Melayu/Indonesia Holland, dikenali sebagai Hollanda apabila merujuk tradisi teks Tuhfat Al Nafis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Leave a Reply