Peranan Pendidikan Bahasa dalam Kehidupan

Oleh Awang Sariyan

Pendidikan bahasa bukan bidang eksklusif yang bersifat ilmiah semata-mata, tetapi merupakan bidang yang pragmatis juga sifatnya. Maksudnya, pendidikan bahasa bukan sekadar pemberian maklumat atau fakta bahasa (baik fonologi, tatabahasa, semantik mahupun kosa kata), dan bukan juga pembinaan kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) secara mekanis dan pasif.

Sejajar dengan matlamat pertama tadi yang menekankan pengembangan potensi akliah anak didik, maka matlamat kedua ini berkaitan dengan penerapan penguasaan sistem bahasa dan kemahiran bahasa dalam kehidupan yang merentas pelbagai konteks, bidang dan keperluan. Dengan kemampuan menerapkan pengetahuan sistem bahasa dan penguasaan kemahiran berbahasa dalam kehidupan yang menyeluruh itu, diharapkan anak didik kemudian menjadi anggota masyarakat yang peka, akomodatif dan membantu keutuhan dan pelestarian segala unsur budaya yang menjadi asas jati diri atau identifikasi masyarakatnya itu.

Kehidupan yang menyeluruh meliputi kehidupan dalam pelbagai unit sosial, bermula dengan keluarga, sahabat handai, masyarakat umum, institusi kerjaya, media, pertubuhan, negara dan di peringkat supranasional meliputi hubungan serantau dan antarabangsa. Dari segi bidang pula, kehidupan yang menyeluruh mencakup segala aspek yang menjadi tunjang kebudayaan dan tamadun, seperti ekonomi, politik, pendidikan, sains, perubatan, undang-undang, pentadbiran dan diplomasi.

Dalam semua perancangan, keputusan, kegiatan, interaksi dan penilaian yang berkaitan dengan semua unit sosial dan ranah kehidupan itu, diperlukan “kemahiran insaniah”, dengan kemahiran bahasa dan komunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang teras. Tidak ada satu pun aspek kehidupan yang tidak memerlukan kemahiran bahasa dan komunikasi. Keharmonian keluarga dan persahabatan, kecekapan dalam pentadbiran, keberkesanan media dan kelancaran diplomasi antara negara, sebagai contoh, memerlukan kemahiran bahasa dan komunikasi. Bayangkanlah betapa simpang-siurnya dan simpang-perinangnya kehidupan manusia tanpa kemahiran bahasa dan komunikasi untuk menangani segala-galanya itu. Dalam konteks inilah pendidikan bahasa membolehkan atau memungkinkan anak didik menjadi anggota masyarakat yang dapat berperanan memenuhi segala keperluan itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>