Pengantarabangsaan Bahasa Melayu: Usaha dan Iltizam

Oleh Indirawati Zahid

Bahasa Melayu merupakan antara bahasa yang banyak penuturnya di dunia ini. Kajian secara tidak rasmi menunjukkan bahawa bilangan penutur bahasa Melayu melebihi 300 juta orang. Jumlah penutur ini tersebar di seluruh pelosok dunia. Antara kawasan penyebarannya termasuklah Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, selatan Filipina, Afrika Selatan dan Sri Lanka. Dari aspek kedudukannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang kelima terbesar bilangan penuturnya, manakala dari aspek keluasan penggunaannya, bahasa Melayu diberi taraf bahasa yang keempat.

Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gemilang. Pada suatu masa dahulu, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca yang mesti dituturkan dan dituliskan dalam apa-apa bentuk tulisan pun oleh orang asing yang semasa itu ingin berurusan dengan negeri di kepulauan Melayu. Kegemilangan ini dapat dilihat pada catatan konkrit, seperti batu bersurat yang membuktikan kedudukan bahasa Melayu semasa itu.

Sejarah gemilang ini tampaknya tidak kekal sehingga hari ini. Sekarang, bahasa Inggeris mula menjadi pengganti bahasa Melayu dalam segala urusan. Kedudukan bahasa Melayu agak tergugat dengan keadaan semasa kesan globalisasi ini. Dengan tidak menafikan perlu dan pentingnya menguasai bahasa asing, seperti bahasa Inggeris, usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu perlu diperkukuh. Usaha yang dilakukan sejak sekian lama perlu dimantapkan agar hasrat mengantarabangsakan bahasa Melayu dapat dicapai. Usaha ini bersesuaian dengan titah Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, semasa majlis perasmian Jubli Emas penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (1961-2011) yang lalu. Titah baginda, “Kita sama sekali bukan menafikan kepentingan bahasa asing. Malah kita juga menggalakkannya supaya dipelajari dan didalami, terutama bahasa asing yang utama. Cuma yang lebih di sini kedaulatan bahasa Melayu itu janganlah dikendurkan, jangan sampai dikelasduakan, atau kita dengan sengaja melangkahi dalam keadaan dan ketika yang tidak perlu …”.

Baginda selanjutnya memperkatakan hasrat baginda terhadap MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia) yang antaranya berbunyi “Demikianlah, berdasarkan sejarah, tidak diragui lagi, bahasa Melayu adalah bahasa besar, bahasa yang cukup syarat serta berpotensi untuk menjadi salah satu bahasa dunia. Mengapakah kita ketandusan usaha dan cita-cita ke arah itu? Pada hemat beta, inilah ketikanya MABBIM memikir dan melakar gagasan, bagaimana untuk menaik taraf bahasa Melayu menjadi bahasa dunia. Ini bukanlah angan-angan tetapi keyakinan yang diasaskan kepada fakta dan disokong pula oleh pendapat para sarjana mengenainya …” Titah yang mendorong semangat ini seharusnya dikongsi bersama oleh negara yang menuturkan bahasa Melayu, walaupun belum pada tahap dunia, tetapi sekurang-kurangnya kembalikanlah kedudukan bahasa itu di Nusantara kerana suatu ketika dahulu kedudukan ini sudah pun dicapai. Iltizam dan usaha harus ada, sentiasa wujud dan pelaksanaan dilakukan sepanjang masa dan tidak hanya bersifat sementara ataupun bermusim kerana sesuatu acara atau situasi semasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Leave a Reply