PRPM Wahana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

Oleh Zaidi Ismail

Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau ringkasnya PRPM merupakan kemudahan yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk pengguna internet membuat rujukan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Dengan menggunakan enjin carian PRPM, pengguna boleh mencari maklumat secara holistik yang merentasi semua pangkalan data DBP, laman DBP, laman bahasa dan laman persuratan Melayu di mana-mana sahaja dalam masa yang singkat asalkan ada kemudahan internet. Sehubungan dengan itu, permasalahan yang berkaitan dengan pencarian bahan dan maklumat persuratan Melayu yang terbatas dari segi ruang dan masa dapat diatasi.

Abang Patdeli Abang Muhi dalam makalahnya “PRPM: Suatu Inovasi Capaian Maklumat Persuratan Melayu” menyatakan bahawa PRPM merupakan antara program transformasi dan inovasi berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang telah diusahakan oleh DBP. Kemudahan dalam internet ini menyediakan pelbagai maklumat dan rujukan yang berkaitan dengan persuratan Melayu. Segala maklumat persuratan Melayu yang dibekalkan melalui PRPM itu pula boleh dicapai secara percuma.

Maklumat tersebut dikategorikan berdasarkan domain tertentu yang ditetapkan oleh DBP. Sebanyak 11 domain terdapat dalam PRPM, iaitu Kamus dan Istilah, Panduan, Perkhidmatan, Artikel, Karyawan, Puisi, Tesaurus, Karya, Ensiklopedia, Buku dan Khidmat Nasihat. Domain Kamus dan Istilah merupakan domain yang paling menjadi tumpuan pengguna PRPM. Melalui domain ini, pengguna akan memperoleh makna sesuatu kata yang bersumberkan Kamus Dewan Edisi Keempat, Kamus Pelajar Edisi Kedua, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Sains, Kamus Teknologi Maklumat dan Daftar Istilah MABBIM.

Selain berfungsi sebagai enjin carian yang mudah, cepat dan tepat, PRPM turut memperbanyak dan memperluas maklumat dalam bahasa Melayu, sekali gus membolehkan para pengguna dari seantero dunia untuk mencari dan memperoleh maklumat tentang persuratan Melayu yang absah daripada sumber pembekal maklumat yang sahih dan berwibawa. PRPM ini juga dapatlah dianggap sebagai salah satu wahana pengantarabangsaan bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Leave a Reply