Janganlah Perlekehkan Bahasa Sendiri

Oleh Hasan Baseri Budiman

Usaha pihak tertentu untuk menghidupkan kembali dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memperlihatkan tahap kecintaan dan semangat patriotik golongan ini terhadap bahasa kebangsaan kita yang sangat mengecewakan. Sejak Malaysia mula mengecap kemerdekaannya pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dilakukan oleh para pemimpin ketika itu untuk menjamin kesejahteraan Negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat ini terus didaulatkan.

Usaha terbesar yang telah dilaksanakan ke arah pembentukan identiti bangsa Malaysia ini, antaranya termasuklah memperkasakan dasar bahasanya, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Aspek bahasa ini kemudiannya telah dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152 untuk menjamin bahasa Melayu agar terus dipelihara sampai bila-bila.

Serentak dengan itu, bahasa Melayu juga telah dipilih sebagai bahasa pengantar di sekolah, sesuai dengan sifatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu negara, seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1956/1961, yang antaranya menyatakan:

Bahawasanya dasar pelajaran yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 adalah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.

Bahawasanya adalah difikirkan perlu bahawa setakat yang sejajar dengan dasar itu, dengan mengadakan pelajaran yang cekap dan dengan mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak berpatutan, perhatian hendaklah mendidik mengikut kemahuan-kemahuan ibu bapa mereka.

Bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuklah peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.

Setelah sekian lama negara bergerak menyusuri kemerdekaannya, proses untuk merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan berasaskan Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 itu, rupa-rupanya masih terhalang oleh sikap waswas masyarakatnya sendiri. Kelicinan laluan bahasa Melayu ke arah peningkatannya untuk menjadi bahasa yang diterima dan diamalkan oleh semua penduduk negara masih ada ranjaunya.

Selepas hampir 55 tahun Malaysia merdeka, bahasa Melayu terbukti wajar menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Namun, tiba-tiba pada tahun 2003, kedudukannya sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara tergugat. Sejak itu, bahasa Melayu terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang ditimbulkan pihak yang masih menginginkan bahasa Inggeris terus diberikan kedudukan yang lebih baik.

Memang tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu kerana kebanyakan bahan yang bersifat keilmuan tertulis dalam bahasa tersebut. Walau bagaimanapun, kita sepatutnya tidak terlalu cepat melatah kerana mencari ilmu itu tidak semestinya dalam timbunan buku bahasa Inggeris sahaja. Bahasa lain juga banyak digunakan untuk penyebaran ilmu. Sebaiknya, ilmu dalam bahasa Inggeris itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebanyak mungkin supaya pelajar di negara ini senang memperolehnya. Orang Barat sendiri pun turut menterjemahkan ilmu daripada al-Quran ke dalam bahasa mereka. Orang Jepun dan Korea pula telah menterjemahkan buku berbahasa Inggeris ke dalam bahasa mereka. Memanglah bukan kerja yang mudah untuk melakukan semua itu, tetapi “kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”.

Apa-apa pun, dalam keakuran kita terhadap keperluan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, kita tidak semestinya mengangkat bahasa itu sewenang-wenangnya ke puncak dan membenamkan bahasa Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun turut menjadi bahasa ilmu. Usaha pihak tertentu untuk menghidupkan kembali PPSMI harus difikirkan dengan sedalam-dalamnya kerana kita tidak boleh terlalu yakin bahawa masalah pengilmuan di negara kita akan meningkat apabila Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.

Ketebalan rasa “tinggi darjat” apabila dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik telah memaksa golongan tertentu terus mengutamakan bahasa Inggeris, terutamanya dalam dunia korporat dan komersial. Keadaan ini akan menjadi bertambah buruk apabila semakin banyak orang yang terikut-ikut cara mereka.

Sedikit sebanyak permasalahan itu berpunca daripada kesan psikologi penjajahan yang elitis sifatnya serta pengaruh daripada latar belakang pendidikan yang diterima daripada pelbagai aliran yang berdasarkan ras masyarakat setempat. Bahasa Melayu yang cuba membina kedudukannya sebagai bahasa ilmu masih dalam proses perkembangan dan pemantapan melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan 1957 yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan sepenuhnya dilaksanakan sejak tahun 1970.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

Leave a Reply