Kerancuan Penggunaan Bahasa dalam Media

Oleh Abang Patdeli Abang Muhi

Media, cetak mahupun elektronik memainkan peranan yang cukup penting sebagai wahana penyebaran penggunaan bahasa yang baik, indah dan persis. Tambahan pula, media dengan keupayaan, kepantasan, kesegeraan dan keluasan liputannya serta integritinya dalam penyampaian serta penyebaran pelbagai bentuk maklumat, berita dan peristiwa berwahanakan bahasa amat mempengaruhi gaya berbahasa dan berkomunikasi dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, media seperti televisyen dan filem bukan sahaja harus mementingkan aspek makluman, hiburan dan bujukan dalam melaksanakan agenda media masing-masing, malah memainkan tanggungjawab moral dan sosialnya untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa yang baik, indah dan persis. Masalah kerancuan bahasa perlulah dihindarkan.

Pelbagai penggunaan bahasa yang rancu bukan sahaja boleh merencatkan usaha pemerkasaan dan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan budaya tinggi yang berwibawa, bahkan boleh menimbulkan tanggapan bahawa itulah bentuk dan gaya bahasa yang betul, baik, indah dan persis. Kerancuan penggunaan bahasa dalam media elektronik berlaku dalam dua aspek, iaitu aspek ejaan dan kecenderungan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, khususnya dalam pemaparan judul drama atau filem yang ditayangkan di stesen televisyen kerajaan dan swasta. Dalam konteks ini tentu sahaja para pembikin filem atau drama serta penerbit rancangan yang berkenaan juga ikut bertanggungjawab merancukan penggunaan bahasa kerana merekalah yang menciptakan dan menetapkan judul drama dan filem itu.

Judul filem dan drama harus menarik dan mampu menambat hati penonton, tetapi tidak mewajarkan kepersisan dan keindahan bahasa itu dirancukan dan dimanipulasikan secara semberono. Harus ada pertimbangan, keprihatinan dan rasa kebertanggungjawaban bersama untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini dengan membiasakan penggunaan bahasa yang betul, khususnya oleh pengamal media.

Dari aspek ejaan, terdapat beberapa kesilapan pengejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, selain penterjemahan yang salah dari segi semantiknya. Pengejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris perlu mengutamakan aspek visualnya, bukan mengikut nilai sebutan perkataan tersebut. Kata “legenda” yang berasal daripada kata legend selalu disalah eja menjadi “lagenda”. Contohnya dalam judul drama Lagenda Budak Setan.

Ungkapan My honey pula diterjemahkan sebagai “Oh maduku”, sedangkan dalam konteks tersebut, ungkapan itu bermaksud “Oh sayangku” atau “Oh manisku”. Kata shoot yang bermaksud “pengambilan gambar” atau “penggambaran” sering diterjemahkan sebagai “tembak”. Demikian juga dengan perkataan Fire! yang bermaksud “Tembak!” diterjemahkan sebagai “Api!”. Penterjemahan secara harfiah tanpa mendalami maksud ungkapan tersebut terlalu kerap berlaku.

Wujud juga penggunaan perkataan yang lewah dan penterjemahan kata majmuk yang tidak tepat. Contohnya, kata majmuk “Bual Bicara” untuk Talk Show dan “Guna pakai” bagi adopted. “Talk Show” boleh diterjemahkan sebagai “Bicarawara”, dan ungkapan “terima pakai” untuk adopted.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

2 thoughts on “Kerancuan Penggunaan Bahasa dalam Media”

  1. Peranan media massa amat penting dalam merealisasikan pembentukan sesebuah negara bangsa untuk mendidik anggota masyarakat bagi memahami ilmu pengetahuan dengan menggunakan bahasa Melayu. Media berperanan untuk mendidik masyarakat Malaysia untuk menggunakan bahasa Melayu yang tepat. Pihak media massa termasuk media cetak, media elektronik dan media sosial haruslah sedar yang mereka bertanggungjawab membawa pembaharuan dan pengubahsuaian dalam bidang bahasa.

  2. Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 57 tahun sejak tahun 1957. Namun, isu bahasa Melayu masih berlaku dan sentiasa dibangkitkan dalam kalangan masyarakat, terutamanya ahli bahasa. Isu yang lazimnya timbul ialah bahasa rojak ataupun bahasa rancu. Kedudukan bahasa Melayu telah kian dipandang remeh oleh penggunanya sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana sejak belakangan ini, bahasa Melayu telah kian diganti oleh bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris telah dipilih untuk dijadikan judul buku, jenama kereta tempatan dan sebagainya. Persoalannya sekarang, adakah bahasa asing jauh begitu hebat berbanding dengan bahasa ibunda kita sendiri yang telah lama wujud dan pernah menjadi lingua franca pada masa dahulu? Pada pandangan saya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang hebat dan unik, bukan disebabkan saya seorang warganegara Tanah Melayu ataupun Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang mempunyai banyak penutur pada muka bumi ini. Sebagaimana yang kita ketahui, bahasa Melayu telah digunakan dalam komunikasi harian oleh penduduk Asia Tenggara. Antaranya ialah penduduk Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina serta sebahagian penduduk selatan Thailand. Lingkungan penutur bahasa Melayu adalah begitu besar dan ramai walaupun tidak mampu bersaing dengan bilangan penutur bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Melayu juga kurang menjadi pilihan penulis untuk digunakan sebagai judul buku mereka terutamanya novel. Sebagai contohnya, Protect The Boss. Dalam isi novel ini pula banyak penggunaan bahasa Inggeris, seperti ” alright “, ” Mr “, ” room “dan sebagainya. Hal ini telah menyebabkan masalah kerancuan bahasa. Walaupun penggunaan bahasa Inggeris dalam novel Melayu tidak salah, ia masih akan memberi impak yang besar kepada para pembaca. Pembaca akan menjadikan penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu satu perkara yang biasa dan akan mengaplikasikannya dalam kehidupan harian mereka. Hakikatnya, kelaziman ini akan menimbulkan isu kerancuan bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sebagai intiha, anak Malaysia haruslah memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa menunjukkan bangsa.

Leave a Reply