Persepsi Negatif terhadap Bahasa Melayu

Oleh Hamdan Azmi Abd. Aziz dan Noor Rohana Mansor

Kebimbangan pejuang bahasa dalam isu permasalahan sikap masyarakat, khususnya orang Melayu terhadap bahasa Melayu memang ada asasnya. Pejuang bahasa menganggap persepsi negatif orang Melayu terhadap bahasanya sendiri merupakan halangan utama dalam usaha memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Allahyarham Dato’ Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sering menyentuh isu sikap masyarakat, khususnya orang Melayu terhadap bahasanya sendiri dalam makalah dan kertas kerjanya. Menurutnya orang Melayu tidak mementingkan mutu penggunaan bahasa, seperti menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan Inggeris dalam pertuturan seharian. Sesetengah orang Melayu beranggapan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang betul tidak begitu penting bagi kemajuan mereka.

Persepsi sedemikian sebenarnya akan membantutkan perkembangan bahasa Melayu untuk lebih maju ke peringkat yang lebih tinggi. Ilmu dan budaya tinggi tidak dapat dicetuskan melalui bahasa yang salah, bahasa ragam rendah, bahasa pasar, dialek setempat dan sebagainya. Oleh itu, masalah ini dapat diatasi melalui pendidikan dengan menjadikan ilmu bahasa itu sebagai sistem budaya dan pemikiran. Dengan kata lain, bahasa Melayu sebenarnya bukan menghadapi masalah bahasa, tetapi masalah luar daripada bahasa itu sendiri, iaitu permasalahan yang berkaitan dengan sikap atau persepsi tidak yakin terhadap kemampuan bahasa tersebut.

Bangsa Melayu perlu mengambil iktibar daripada sejarah kemajuan tamadun Jepun, Korea dan China. Negara itu mencipta kemajuan sains dan teknologi dalam bahasanya sendiri. Mereka tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam proses pengembangan ilmu. Walau bagaimanapun, bagi mereka bahasa Inggeris bukanlah segala-galanya. Ilmu yang diperoleh dari negara Barat telah melalui proses penjepunan, pengkoreaan atau pencinaan di negara mereka. Dengan cara ini, bahasa Jepun, Korea dan China akan terus berkembang selari dengan kemajuan bidang sains dan teknologi di negara mereka.

Alangkah baiknya jika proses seperti ini turut berlaku di negara kita. Hakikatnya, kemajuan sains dan teknologi bukan hanya dicipta oleh orang Inggeris. Orang Inggeris sendiri pun belajar daripada bangsa lain. Oleh itu, orang Melayu perlu berfikiran positif terhadap kemampuan bahasanya sendiri. Bahasa Melayu mampu berkembang maju sebagai bahasa ilmu seperti bahasa-bahasa lain sekiranya masyarakat di negara kita menyokong penuh dasar memartabatkan bahasa Melayu sebagai medium utama pada semua peringkat pendidikan. Perubahan dasar bahasa sering dikaitkan dengan usaha untuk mempercepat kemajuan dalam bidang sains dan teknologi negara. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjalankan fungsinya sebagai bahasa pengantar dalam bidang tersebut. Golongan elit Melayu merasakan bahawa dasar bahasa yang sedia ada ini perlu diubah untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Oleh itu, penentu kemajuan negara ini telah diberikan kepada bahasa asing untuk menjalankan tanggungjawab sebagai bahasa pengantar ilmu utama dalam sistem pendidikan negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

One thought on “Persepsi Negatif terhadap Bahasa Melayu”

Leave a Reply