Bahasa Cinta dalam Lagu Melayu

Oleh Wan Robiah Meor Osman

Bagaimana kan kumula,

dan apakah kata-kata yang indah untuk diabadikan?

Tiap wajah berkisah,

tiap madah bererti manakah ilhamku?

Cahaya di matamu,

senyum di bibirmu, mengukir seribu tanda pertanyaan.

Mungkinkah kau jua, dalam kerinduan,

di saat begini, aku merindukan ….

(Suatu Masa, M. Nasir).

Kuasa bahasa terserlah dalam pelbagai medium komunikasi, antaranya termasuklah dalam lirik lagu Melayu. Hal ini memperlihatkan bahawa lagu Melayu yang liriknya puitis menjadi santapan halwa tel inga serta tarikan dalam meraih populariti tanpa mempertikaikan kepentingan melodi yang turut memainkan peranan penting.

Kuasa bahasa amat tinggi dan dapat memukau cita rasa khalayak yang menghargai dan memahami bahasa tersebut. Apabila lirik yang tersusun indah selari dengan melodinya, maka keindahan bahasa dalam sesebuah lagu akan jelas terpancar dalam gaya bahasa yang tersendiri.

Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai lagu melalui pelbagai media elektronik. Oleh hal yang demikian, selain mendengar, ada juga yang turut menilai dan menghargai lagu yang diperdengarkan. Lagu yang popular akan turut menjadi siulan masyarakat. Hal ini secara tidak langsung turut menonjolkan kepuitisan dan keindahan bahasa Melayu dalam lirik lagu yang juga ada mesejnya yang tersendiri.

Lagu Melayu yang berteraskan cinta amat digemari oleh masyarakat. Cinta itu pula tidak terhad setakat cinta sesama manusia tetapi turut melibatkan cinta kepada Ilahi. Bahasa yang digunakan juga indah. Kemahiran berbahasa yang indah dan puitis yang dimiliki seseorang pencipta lagu menjadi senjata utamanya dalam mengangkat populariti sesebuah lagu yang dicipta.

Sesebuah lagu yang mempunyai lirik yang puitis selalu menjadi malar segar dan didengari masyarakat tanpa jemu.

Dalam lagu Melayu yang bersifat ketuhanan, citra cinta dilukis indah berdasarkan gaya yang tersendiri oleh penciptanya. Misalnya, lagu Doa dan Kepada-Mu Kekasih mempunyai lirik yang sarat dengan cinta dan keagungan Ilahi.

Mesejnya yang jelas dan puitis menyebabkan lagu ini digemari sepanjang zaman dan sentiasa diulang-ulang nyanyiannya tanpa jemu. Antara lirik lagu Doa termasuklah “Tuhanku, dalam termangu, kusebut nama-Mu, biar susah sungguh, mengingati Kau, penuh seluruh, Tuhanku cahaya-Mu panas suci, bagai kerdip lilin, di kelam sunyi …” memperlihatkan mesej cinta yang penuh dengan keinsafan dalam mencari keredaan Ilahi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>