Gunakanlah Facebook secara Berhemah

Oleh Zaidi Ismail

Facebook yang diperkenalkan oleh Mark Zuckerberg pada tahun 2004 merupakan laman sosial yang paling popular kini. Sehingga kini, pengguna Facebok di seluruh dunia telah melebihi 845 juta akaun dengan separuh daripadanya (483 juta) mengepos pernyataan setiap hari.

Amerika Syarikat (152 juta), India (43.4 juta) dan Indonesia (43.1 juta) merupakan tiga negara berpengguna Facebook tertinggi di dunia. Di negara kita pula, berdasarkan statistik semasa yang dikeluarkan oleh Socialbakers, penggunanya sudah melebihi 10 juta orang. Jumlah ini menggambarkan Facebook menjadi tumpuan penggunaan di seluruh dunia. Oleh sebab kekuatan kepenggunaannya itulah, Mark Zuckerberg selaku pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif mampu menerima gaji asas AS$500.000 (RM1.5 juta) setahun pada tahun lalu.

Dari segi penggunaan bahasanya pula, khususnya di negara kita, secara umumnya ada empat bentuk penggunaan bahasa, iaitu bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu rendah (seperti bahasa rojak), bahasa Inggeris dan bahasa daerah atau dialek. Penggunaan bentuk bahasa tersebut banyak bergantung pada latar belakang penggunanya.

Pengguna yang berkecimpung dalam bidang bahasa dan pencinta bahasa Melayu akan menggunakan bahasa Melayu tinggi walaupun Facebook dianggap sebagai media sosial dan tidak rasmi. Antara tokoh bahasa yang turut menggunakan Facebook sebagai media komunikasi dan penyebaran bahasa termasuklah Dr. Awang Sariyan (Kembara Bahasa) dan Prof. Emeritus Abdullah Hassan (ProfAbdullah Hassan).

Sebenarnya, dalam media apa-apa pun, baik elektronik mahupun cetak, tahap atau kualiti penggunaan bahasanya bergantung pada kesedaran pengguna itu sendiri. Sekiranya yang ingin ditonjolkan melalui sesuatu media itu bentuk penggunaan bahasa yang baik, maka bahasa yang baiklah yang akan digunakannya. Jadi, sekiranya banyak yang dipaparkan dalam media itu bentuk penggunaan bahasa yang salah, hal itu bermakna penggunanya sememangnya tidak berminat untuk menggunakan bahasa yang baik. Dengan hal yang demikian, yang salahnya bukanlah media tetapi penggunanya.

Untuk menjadikan media sosial, khususnya Facebook sebagai salah satu wahana pengantarabangsaan bahasa Melayu, penggunanya perlulah menggunakan bahasa Melayu yang berkualiti walaupun dalam situasi tidak rasmi. Melalui cara tersebut, kita dapat memaparkan citra dan jati diri kita sebagai pengguna bahasa yang berhemah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

Leave a Reply