Awan Nano Mengungkap Keindahan Bahasa Melayu di Pentas Juara Lagu

Reaksi Bahasa

Oleh Sharil Nizam Sha’ri

Kejayaan lagu Awan Nano sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL) masih segar dan berupaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa peminat muzik tanah air. Nyanyian yang berkesan dan penuh penghayatan oleh Hafiz, lagu hasil ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat, ternyata menjadi pakej lengkap dan dominan sehingga layak ditabalkan menjadi juara AJL baru-baru ini. Gabungan suara, susunan muzik dan lirik yang mantap ini berjaya memukau para juri dan peminat sehingga jalan cerita dalam lagu ini merasuk sanubari insan.

Lagu tersebut mempunyai kekayaan melodi yang melambangkan jati diri dan identiti muzik Melayu, malah berpotensi untuk berada dalam senarai lagu malar segar yang akan bertahan dalam hati pencinta tempatan. Lantas, kehebatan lagu itu muncul sebagai juara AJL ke-26 turut disebabkan oleh keindahan bahasa yang digunakan oleh penggubahnya dan setiap baris liriknya dialunkan oleh penyanyinya dengan penuh padu dan bertenaga. Lagu yang dipersembahkan oleh Hafiz itu telah berjaya membuktikan bahawa bahasa yang indah dapat dijadikan “modal” yang berharga dalam sesuatu pertandingan. Secara tidak langsung juga, lagu tersebut turut memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang muzik tanah air ke mercu kegemilangan.

Bahasa bukan sahaja boleh digunakan untuk menyampaikan idea atau berkomunikasi dengan orang lain tentang sesuatu, tetapi bahasa yang baik juga dapat digunakan untuk menyampaikan idea melalui lirik lagu. Lagu Awan Nano telah berjaya menggarap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa harian untuk menjanakan tradisi pemikiran dan amalan ilmu mengikut acuan kita sendiri. Lagu tersebut juga dapat menggerakkan penggunaan bahasa Melayu yang dapat membangunkan negara bangsa dan tamadun Malaysia yang kukuh bertunjangkan kesenian dan budaya Melayu dalam setiap aspek kehidupan.

Penggunaan kosa kata atau frasa, seperti melindungi, air matamu, tercapai, memayungi diri, menggores pipi, melimpahkan kasihnya dan banding setia, jelas membuktikan bahawa aplikasi yang mengungkap keindahan bahasa dan menjadi “nadi” lagu ini semakin mudah difahami dan diminati oleh penggemar muzik tanah air.

Puisi atau lirik lagu yang sarat dengan nilai keindahan, kebenaran dalam hidup dan kasih sayang dalam ikatan keluarga mampu menjadi sarana penting untuk menyalurkan segala unsur kebaikan dan meninggalkan gejala negatif hidup di dunia dan menyeru insan hidup dalam kebahagiaan dan kesejahteraan harmoni di dunia dan akhirat serta meninggalkan gejala negatif hidup di dunia.

Tema cinta dan kasih sayang yang diungkapkan dalam lagu ini merupakan tema yang sangat popular dan tidak pernah luput dalam kehidupan harian kita. Cinta yang lumrah dan selalu didendangkan ialah cinta kepada kekasih. Walau bagaimanapun, cinta sebenarnya lebih luas daripada itu, seperti cinta kepada ibu bapa, sanak saudara, tanah air, bangsa atau paling mulia, cinta kepada Tuhan (Alwi Salim, 1983). Ternyata, Awan Nano menjadikan cinta dan kasih sayang kepada ibu bapa sebagai tema yang digarap sehingga menyentuh hati nurani insan yang sentiasa merindui kasih sayang ibu bapa dalam hidup ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas