Bahasa Melayu: Cabaran dan Pengaruh Persekitaran

Agenda Bahasa

Oleh Ridzuan Kamis

Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penuturnya sangat besar. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca di Asia Tenggara, khususnya pada zaman kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka.

Dari aspek sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia atau dikenali juga sebagai bahasa Melayu-Polinesia. Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek yang unik dan tersendiri. Pada hari ini, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Di Malaysia, bahasa Melayu dimartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. Atas faktor tertentu, bahasa Melayu dikenali juga sebagai bahasa Malaysia.

Bahasa Melayu merupakan antara sepuluh bahasa di dunia yang mempunyai penutur yang paling ramai. Bilangan pengguna bahasa Melayu semakin meningkat dari setahun ke setahun namun masih tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa bersaing atau dalam erti kata lain, dinafikan hak dan upayanya dek kehadiran bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai nilai komersial, unik dan kaya kosa kata. Terdapat pelbagai faktor dalaman dan luaran yang menjadi penyebab bahasa Melayu dipandang sinis dalam kancah keilmiahan dan ketamadunan jati diri bangsa.

Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, dituturkan oleh pelbagai lapisan masyarakat sebagai bahasa perhubungan utama, bahasa diplomatik, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan sebagainya. Namun begitu, sesetengah pihak menganggap bahasa Melayu tidak mantap dan belum boleh dibanggakan kerana status pencapaian yang merudum jika dibandingkan dengan pencapaian yang dicatatkan pada zaman kegemilangan Melayu terdahulu. Yang menyedihkan, terdapat segelintir rakyat dan pemimpin seolah-olah meminggirkan peranan bahasa kita.

Secara realitinya, dalam konteks perundangan dan perlembagaan, bahasa Melayu telah kukuh dek kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Secara tersiratnya, bahasa Melayu seolah-olah hilang upaya untuk bersaing sebagai bahasa ilmu yang terkemuka di dunia. Banyak faktor yang dikesani menjadi penyebab utama akan hal ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas