MBMMBI Perkasakan Bahasa Melayu

Oleh Azman Ismail

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran secara rasmi telah memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah pada 8 Julai 2009 dan menggantikannya dengan MBMMBI. Keputusan tersebut dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memastikan seluruh pelajar rendah dan menengah di negara ini mampu menguasai kedua-dua bahasa tersebut pada tahap yang terbaik.

Pelaksanaan dasar baharu tersebut dibuat setelah kerajaan mengambil kira pelbagai pandangan masyarakat, sarjana dan pelbagai pihak. Antara lain, kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak mencapai objektif seperti yang dirancang. Hal ini dikatakan demikian kerana sebahagian besar pelajar, terutamanya dari kawasan pedalaman, sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris hingga menyebabkan mereka mengambil masa yang lama untuk memahami konsep kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Kesukaran tersebut memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh itu, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara ini tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Secara tidak langsung, PPSMI tidak sepenuhnya di sebahagian sekolah di negara ini, apabila guru terpaksa menggunakan dwibahasa (bahasa Melayu dan Inggeris) untuk menjelaskan sesuatu topik bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain terdapat guru yang tidak menguasai istilah dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Berbeza daripada konsep dan dasar MBMMBI, dasar baharu itu memberikan penekanan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bahasa Melayu dan pada masa yang sama, bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Ekoran pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam P&P bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)(SKJT) dibenarkan menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Sejajar dengan keputusan baharu tersebut, pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa pengantar masing-masing dalam P&P Sains dan Matematik. Langkah ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan bahawa keputusan kerajaan memperkenalkan MBMMBI dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak kerana pemansuhan tersebut tidak bererti kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar rendah dan menengah akan ditingkatkan dengan beberapa langkah penambahbaikan P&P bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>