MBMMBI Bukanlah Mimpi pada Siang Hari

Mulai tahun 2003, kerajaan telah memperkenalkan dasar baharu, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Menurut Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, MBMMBI berfungsi sebagai serampang dua mata, iaitu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan menekankan aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Langkah tersebut sememangnya disambut baik oleh banyak pihak demi masa depan anak bangsa yang tentunya lebih mudah menimba ilmu dalam bahasa sendiri. Walau bagaimanapun, belum pun setahun dasar itu dilaksanakan, tiba-tiba ada pihak yang cuba mendesak kerajaan agar menghidupkan kembali Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun didesak, Muhyiddin tetap bertegas tidak akan menghidupkan kembali PPSMI dan meneruskan dasar MBMMBI yang baru dilaksanakan itu. Ketegasan itu tentulah menggembirakan banyak pihak, terutamanya yang mencintai bahasa Melayu dan yang ingin melihat lebih banyak pelajar berjaya dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Teo Kok Seong dalam makalahnya, “Pentingnya Bahasa Peribumi Melayu dalam Pengajian Tinggi” menyatakan bahawa pemansuhan PPSMI merupakan langkah pendidikan dan politik yang bestari kerana penggunaan semula bahasa peribumi Melayu sebagai pengantar utama pada semua peringkat pengajian dalam sistem pendidikan negara, bukan sahaja pemilihan yang tepat, tetapi yang lebih penting lagi ialah bahasa Melayu selaku bahasa peribumi yang dinobatkan sebagai bahasa negara lambang kebangsaan untuk rakyat dan negara.
Oleh itu, dasar MBMMBI merupakan ketetapan yang sangat baik untuk pemupukan negara bangsa dan pembentukan Malaysia itu sendiri, khususnya untuk tujuan jati diri linguistik kebangsaan yang persis sifatnya. Kedudukan dan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara tidak perlu dipersoalkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi orang Melayu selaku penutur asal melalui beberapa badan bukan kerajaan tertentu.

Demi memandaikan bangsa, bahasa Melayu yang sememangnya diketahui dan difahami setiap warga Malaysia perlulah dikekalkan sebagai bahasa pengantar utama dalam pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran, termasuklah Sains dan Matematik.

Zaidi Ismail

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Leave a Reply