Seni Berbahasa, Bahasa Berseni

Bicara Bahasa

Sesuatu yang berseni lazimnya merupakan sesuatu yang indah. Yang dapat menghasilkannya, hanyalah orang yang berjiwa seni dan ada kemahirannya. Seni itu pula ada bermacam-macam, termasuklah seni berbahasa.

Seseorang yang ada seni dalam berbahasa akan dapat menghasilkan bahasa yang berseni, baik dalam tulisan mahupun ucapan. Dalam berbahasa, selain perlu menggunakan bahasa yang betul, kita juga boleh menggunakan bahasa yang berseni dalam karya tertentu, seperti karya sastera. Puisi, simpulan bahasa dan pantun merupakan antara karya sastera yang sangat menekankan unsur seni atau keindahan bahasanya. Melalui karya tersebut, penulis dapat menyampaikan sesuatu secara halus dan bijaksana. Misalnya, amanat, teguran dan jenaka dapat disampaikan secara halus tanpa menyakitkan hati yang membaca atau mendengarnya. Hal ini memperlihatkan betapa masyarakat Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Selain itu, bahasa yang berseni juga boleh digunakan dalam situasi tertentu, seperti ucapan dan pengacaraan majlis. Misalnya, menyelitkan pantun dan simpulan bahasa yang ada mesejnya berkaitan dengan sesuatu yang ingin disampaikan. Keupayaan mengungkapkan buah fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan. Bagi karyawan seni pula, bahasa yang berseni ini biasanya digunakan dalam lirik lagu.

Walau bagaimanapun, kini dalam dunia politik, ada pihak tertentu yang kurang memberikan tumpuan terhadap hal ini. Kata dan ungkapan yang bersifat kasar dilontarkan sesuka hati dan boleh menyinggung perasaan golongan tertentu. Hal ini sepatutnya tidak dilakukan oleh masyarakat yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni, seperti yang ditekankan oleh pihak kerajaan melalui “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

-Zaidi Ismail

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas