PU1

Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif

Oleh Nur Fatiha Fadila

Kamus Dewan mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang berfungsi sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bagi melancarkan proses komunikasi, bahasa menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Penggunaan bahasa yang lancar, bersistem dan tepat menghasilkan daya perhubungan yang berkesan. Ketepatan penggunaan bahasa bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti bahasa, malah menjadikan proses enkod dan dekod berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat berbahasa.

Selain berperanan sebagai alat komunikasi manusia, bahasa berperanan besar membentuk pemikiran dan pandangan hidup manusia. Manipulasi bahasa kreatif yang baik memberikan impak kepada daya fikir khalayak penerima bahasa. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, kemasukan tulisan Jawi dan bahasa Arab telah memperkaya bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu bukan sekadar lingua franca yang berperanan dalam bidang perdagangan antarabangsa atau pentadbiran negeri Melaka, sebaliknya, sebelum zaman itu lagi telah menjadi wadah masyarakat melahirkan gagasan pemikiran berlandaskan kreativiti berbahasa.

Ketika zaman Melayu klasik (1400-1800), bahasa Melayu yang masih dipengaruhi ciri bahasa arkaik serta bahasa Arab telah digunakan sebagai senjata untuk berkarya oleh penglipur lara. Proses penggunaan bahasa secara berseni dan kreatif wujud, baik dalam konteks sastera lisan mahupun sastera tulisan. Komuniti Melayu klasik yang mempunyai pertalian erat dengan unsur alam telah menzahirkan pandangan mereka melalui pelbagai cara. Contohnya, pantun dua kerat yang diperturunkan yang lestari sehingga hari ini terhasil daripada daya cerap masyarakat terhadap alam yang membentuk ungkapan yang sarat dengan penghargaan terhadap budi seseorang tanpa penggunaan bahasa secara langsung:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata yang pendek, namun mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Pentakrifan peribahasa ini membuktikan bahawa penguasaan terhadap bahasa kreatif mampu mewujudkan laras bahasa tersendiri yang bertujuan memberikan pengajaran secara santun.

Penggunaan bidalan , perumpamaan, pepatah dan petitih, perbilangan, kias ibarat serta tamsil dalam kategori peribahasa sejak zaman dahulu berfungsi menyampaikan sindiran, amanat dan teguran tanpa menyakitkan hati. Hal ini memperlihatkan betapa komuniti Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam kebanyakan tamadun, kecekapan sasterawan menggunakan bahasa kreatif yang berseni sering menarik perhatian terutamanya oleh pemerintah. Kisah penyair atau penulis yang menemui ajal di penjara atau di tali gantung bukanlah kisah luar biasa dalam dunia kesusasteraan. Setiap pengkarya mempunyai prinsip tertentu dalam berkarya. Sesetengah sasterawan memilih menggunakan sastera dan bahasa kreatif sebagai sumber perjuangan. Bahasa dan dunia sastera diyakini berupaya menjadi “lidah masyarakat” bagi menyampaikan kritikan terhadap pemerintahan yang bercelaru.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Leave a Reply