Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi

Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang bukan sahaja betul dari segi ejaan, sebutan dan tatabahasanya, tetapi juga bahasa yang betul dari segi penggunaannya. Penggunaannya pula tidak sahaja terhad dalam situasi rasmi, tetapi juga situasi tidak rasmi, baik dalam penulisan mahupun pertuturan.

Abdullah Hassan, dalam makalahnya Bahasa Melayu Tinggi Wahana Budaya Intelektual dan Tinggi menegaskan bahawa dua aspek yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan bahasa Melayu tinggi, iaitu mematuhi aspek peraturan bahasa dan peraturan tatabudaya. Aspek peraturan bahasa yang perlu dipatuhi dalam bahasa Melayu tinggi meliputi sebutan, ejaan, perkataan, ayat dan makna secara rapi. Aspek peraturan tatabudaya yang perlu dipatuhi pula adalah seperti penggunaan ganti nama, sistem gelaran dan panggilan sesuai dengan taraf orang yang berkomunikasi, dan pemilihan perkataan yang sesuai dengan konteks.

Apabila penggunaan bahasa Melayu tinggi diamalkan dengan meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, maka amalan tersebut akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa singkatan mesej singkat (SMS) dan bahasa rojak perlulah dihindarkan agar martabat bahasa Melayu terus terpelihara.

Dalam hal ini, semua pihak yang benar-benar mencintai bahasa Melayu perlulah bersikap positif  untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan, baik rasmi mahupun tidak rasmi. Tahap kecintaan yang tinggi terhadap bahasa Melayu ini perlu diasuh sejak kanak-kanak lagi. Peranan ibu bapa dan pendidik dituntut sebagai suri teladan mulia untuk menjamin maruah bahasa Melayu tetap terpelihara sepanjang masa.

Zaidi Ismail

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

4 thoughts on “Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi”

  1. Tahniah kerana menyiarkan artikel yang saya kira kena dan tepat pada masanya. Amat bermakna kepada mereka yang ingin meningkatkan maruah bahasanya.

    1. Terima kasih awangsoh. Pengguna bahasa Melayu tinggi, sama ada semasa bertutur atau menulis, menggunakan sebutan atau ejaan yang sempurna, tatabahasa yang rapi dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada unsur budaya semasa berkomunikasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>