Kamus Herba Fitokimia

Oleh ZURAINI ABU BAKAR

Judul : Kamus Herba Fitokimia

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun : 2011

Harga : RM18.00

Kamus Herba Fitokimia yang mengandungi 320 istilah berserta huraiannya ini memberikan tumpuan khusus kepada subbidang fitokimia. Kamus ini merupakan hasil penyusunan yang dilakukan oleh pakar yang berkaliber dalam bidang ini. Kamus ini memuatkan entri dalam bahasa Melayu dan padanannya dalam bahasa Inggeris. Padanan bahasa Inggeris diletakkan mengikut entri bahasa Melayu dalam tanda kurung dengan menggunakan huruf condong. Contohnya, alkaloid candu (Ig. opium alkaloid), kelas fitokimia (Ig. phytochemistry class), pemeringkatan pelarut-pelarut (Ig. solvent-solvent fractionation) dan sistem perubatan tradisional Yunani (Ig. Unani traditional medicinal system).

Sebagaimana kamus lain, entri disusun mengikut urutan abjad dengan takrifan yang menghuraikan  maksud secara khusus selepas padanan bahasa Inggeris. Jika terdapat istilah yang bersinonim, takrifnya diberikan pada istilah yang dianjurkan penggunaannya, manakala istilah yang tidak dianjurkan itu diletakkan pada akhir takrif tersebut. Contohnya, seperti dalam Jadual 1.

Jadual 1 Istilah yang disusun mengikut urutan abjab dengan takrifan.

Bahasa Melayu Bahasa Inggeris Lihat

isozim isozyme isoenzim
laluan syikimat shikimate pathway laluan asid syikimik
sebatian penanda marker compound sebatian kimia penanda

Selain itu, istilah bandingan atau istilah rujukan dimuatkan pada akhir takrifan sesuatu istilah masukan. Contohnya:

in vivo (Ig. in vivo) Kajian saintifik yang dilakukan

ke atas sel atau organisma hidup. Banding in vitro.

Seterusnya, istilah yang mempunyai takrif yang berkaitan rapat dengan konsep sesuatu istilah yang lain, label atau tanda Lihat juga digunakan sebagai tanda rujuk silang. Contohnya:

monoterpenoid (Ig. monoterpenoid) kumpulan sebatian  yang  mempunyai

ciri struktur, seperti monoterpena. Lihat juga monoterpena.

Istilah yang ditakrifkan dalam kamus ini, sama ada yang berbentuk kata dasar, kata terbitan, kata majmuk atau frasa, semuanya dimasukkan dalam entri tersendiri dan dimuatkan mengikut huruf pertamanya untuk memudahkan pembaca merujuk istilah yang dicari. Contohnya, seperti dalam Jadual 2.

Jadual 2 Istilah berbentuk kata dasar, terbitan, majmuk atau frasa.

Bahasa Melayu

Bahasa Inggeris
alditol alditol
milopektin amylopectin

asid lemak ascorbic acid

Untuk memudahkan pengguna, daftar istilah herba fitokimia dalam bahasa Inggeris-bahasa Melayu juga dimuatkan dalam halaman khusus iaitu antara kandungan entri dengan bibliografi. Senarai  daftar istilah ini memudahkan pembaca untuk merujuk maksud istilah perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu yang disusun mengikut urutan abjad. Makna padanan bahasa Inggeris ini untuk memudahkan pembaca mendapatkan terjemahan maksud sesuatu perkataan dengan lebih cepat, tepat dan betul, di samping dapat merujuk huraian lebih lanjut secara terperinci pada halaman kamus sebelumnya.

Selain itu, ada juga beberapa istilah yang panjang dan mempunyai singkatannya. Singkatan yang  digunakan untuk istilah fitokimia dalam bahasa Melayu sama dengan singkatan yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Hal ini dilakukan  sedemikian untuk memudahkan pengguna mengingati istilah asalnya dalam bahasa Inggeris. Contohnya, seperti dalam Jadual 3.

Jadual 3 Istilah yang panjang dan mempunyai singkatannya.

Bahasa Melayu

Bahasa Inggeris
Kromatografi cecair prestasi tinggi (HPLC) High performance liquid chromatography (SFC)

Kromatografi bendalir lampu genting (SFC) Supercritical fluid chromatography (HPLC)

Penabiran celusan tinggi (HTS) High-throughput screening (HTS)

Kamus ini juga turut memaparkan beberapa gambar rajah ikatan unsur kimia yang diterangkan untuk memudahkan pembaca. Singkatan atau  simbol yang lazim digunakan dalam sesuatu ilmu juga dikekalkan, seperti PEP, DNA dan C5H8. Kamus ini merupakan  kesinambungan siri kamus istilah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hasil usaha Bahagian Peristilahan (kini, Bahagian Peristilahan dan Leksikologi) sejak tahun 1989. Antara kamus istilah lainnya yang telah diterbitkan termasuklah Kamus Farmasi: Kimia Farmasi, Kamus Biologi: Genetik, Kamus kimia: Forensik, Kamus  Veterinar: Praklinikal, Kamus Perubatan: Anestesiologi, dan Kamus fizik: Mekanik Kuantum.

Penerbitan Kamus Herba Fitokimia ini selaras dengan usaha DBP, khususnya Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk memantapkan dan mengembangkan pelbagai istilah dalam bahasa Melayu, termasuklah dalam bidang fitokimia. Usaha ini memerlukan kepakaran yang tinggi, ketekunan, iltizam serta komitmen yang bersepadu daripada pelbagai pihak yang terlibat.

Kamus Herba Fitokimia ini sesuai digunakan sebagai rujukan, terutamanya oleh pelajar institusi pengajian tinggi, pensyarah, dan pengamal dalam bidang kimia serta masyarakat pengguna yang lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Leave a Reply