Pengkomputeran Bahasa, Wahana Pengantarabangsaan Bahasa

Dahulu, hal yang berkaitan dengan bahasa dilakukan secara manual sahaja. Kini, segalanya berubah. Teks ditulis dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk digital yang berasaskan teknologi maklumat.

Di ruang siber dan di pasaran kini, terdapat pelbagai produk teknologi maklumat yang berkaitan dengan bahasa Melayu, termasuklah Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (KDBP), kamus internet, Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta. Produk ini dihasilkan untuk memudahkan pengguna bahasa Melayu, terutamanya dalam menyelesaikan masalah bahasa dan membuat penyelidikan bahasa.

KDBP merupakan program yang digerakkan seawal tahun 1983, yang pada peringkat awalnya dikenali sebagai Pangkalan Data KDBP. Korpus ini merupakan korpus digital bahasa Melayu yang dibina oleh DBP untuk memudahkan pengguna bahasa melakukan penyelidikan bahasa Melayu. Korpus DBP juga dapat digunakan sebagai pusat pengumpulan data untuk penyediaan kamus. Sehingga bulan September 2011, di dalamnya telah terkumpul 105 juta kata daripada pelbagai genre yang telah diformatkan, dirakam dan disimpan secara berstruktur.

DBP turut menyediakan kamus internet yang dapat dicapai melalui http:// prpm.dbp.gov.my. Kamus yang dikenali sebagai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) ini bukan sekadar kamus ekabahasa, tetapi juga meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, dan tesaurus bahasa Melayu. Kemudahan ini amat bermanfaat kepada pengguna yang berhadapan dengan masalah bahasa, terutamanya untuk mencari makna dan padanan sesuatu kata.

Selain produk tersebut, dalam ruang siber kini, terdapat pelbagai produk bahasa Melayu yang disebarkan secara percuma, termasuklah akhbar dan majalah dalam talian, seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, dan Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta pula merupakan antara perisian dan produk yang dijual di pasaran.

Dengan adanya produk hasil daripada pengkomputeran bahasa, bahasa Melayu dapat dipelajari dan disebarkan dengan lebih mudah dan meluas dalam dunia siber yang tiada sempadannya. Yang penting, bahasa yang disebarluaskan itu merupakan bahasa Melayu tinggi atau bahasa yang berkualiti.

Leave a Reply