Bahasa Komunikasi Iklan

Bahasa dan Masyarakat, Pilihan Utama

Oleh Roslan Daud

Perkataan “ekspresif” didefinisikan sebagai sesuatu perbuatan, tulisan atau lukisan yang dapat melahirkan sesuatu maksud yang meliputi perasaan dan tujuan, sama ada melalui cetakan atau catan. Bahasa iklan pula dapat diertikan sebagai bahasa yang digunakan sebagai medium penyampaian maklumat bagi tujuan mempromosikan barangan dan perkhidmatan, selain memujuk, memuji dan merayu.

Pengiklanan dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk pemberitahuan dan bentuk promosi produk. Matlamat utama adalah untuk menyampaikan maklumat secara berkesan dengan menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah supaya difahami oleh pembaca atau pendengar. Contohnya, pemberitahuan tentang tawaran tender, tawaran kerja atau suatu pengumuman.

Bagi iklan promosi produk pula, bahasa yang digunakan berbentuk pujian dan pujukan, malah boleh dikatakan rayuan secara halus. Hal ini dilakukan dengan memaparkan kebaikan dan kelebihan produk yang berkaitan supaya pengguna dapat mengubah fikiran dan seterusnya mencuba menggunakan produk yang diiklankan.

Perlu ditegaskan bahawa bahasa yang disampaikan melalui komunikasi pengiklanan tidak terhad kepada tulisan, ungkapan mahupun ayat semata-mata, malahan lebih luas daripada itu. Penggunaan ilustrasi, multimedia dan warna merupakan bahasa bukan verbal yang jarang-jarang diterjemahkan secara terang-terangan oleh khalayak.

Contoh terbaik ialah iklan jalur lebar P1 Wimax yang menggunakan satu patah perkataan sahaja, iaitu “POTONG!”. Perkataan itu bermaksud seruan kepada pengguna supaya menghentikan perkhidmatan jalur lebar yang dimiliki syarikat lain. Iklan ini telah bersaing dengan beberapa syarikat telekomunikasi, seperti Telekom Malaysia dengan Streamyx dan Maxis dengan Maxis Wired Broadband untuk memenangi hati pengguna internet agar menggunakan perkhidmatan mereka. Ternyata iklan ini mampu mengangkat reputasi syarikat telekomunikasi ini pada tahap yang tersendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas