Bahasa Membina Keperibadian Bangsa

Oleh Victor Pogadaev

Bahasa dan manusia tidak dapat dipisahkan, bagaikan lagu dengan irama. Bahasa tidak boleh wujud di luar manusia dan manusia sebagai homo sapiens tidak wujud di luar bahasa. Jadi, manusia tidak mungkin diselidiki di luar bahasa, manakala bahasa tidak boleh diselidiki di luar manusia.

Bahasa merupakan alat pemahaman yang mencerminkan dunia di sekitar manusia. Bahasa juga mencerminkan budaya yang dicipta oleh manusia, menyimpannya untuk manusia, dan menghantarkannya daripada manusia kepada manusia yang lain, juga daripada ibu bapa kepada anak cucunya. Melalui bahasa, manusia memahami dunia dan budaya. Tidak kurang pentingnya juga bahasa merupakan alat budaya, digunakan untuk membina insan, menentukan kelakuannya, cara hidup, pandangan hidup, mentaliti, keperibadian kebangsaan, dan ideologi.

Dalam situasi tertentu, manusia menjadi “hamba” kepada bahasa ibundanya. Sejak kecil, manusia berada di bawah pengaruh dan kuasa bahasa ibunda dan bersama-samanya menguasai budaya komuniti bahasa di lokasi dia berada secara kebetulan, tanpa apa-apa pilihan. Seperti dinyatakan oleh saintis Rusia E.M. Veresyagin dan V.G. Kostomarov dalam bukunya Yazik i Kul’tura (Bahasa dan Budaya), “Manusia tidak dilahirkan berkaum Rusia, Jerman atau Jepun dan lain-lain melainkan ia menjadi berkaum itu sebagai akibat beradanya dalam komuniti kaum berkenaan.”

Walau bagaimanapun, kita mesti ingat juga tentang peranan besar yang dimainkan oleh sebuah bahasa berhubung rapat dengan budaya dalam pendidikan dan pembinaan keperibadian manusia. Ahli psikologi Rusia, B.G. Ananiev, menyatakan bahawa keperibadian ialah hasil daripada budaya yang boleh dipinda. Anak yang dilahirkan sejak minit pertama, mendengar bunyi bakal bahasa ibundanya. Bahasalah yang memperkenalkan dunia sekitar kepada dia, memaksanya menerima pemahaman dan gambaran dunia yang “dilukis” sebelum dia muncul. Bersamaan dengan itu, melalui bahasa, manusia menerima pengertian tentang dunia dan masyarakat yang dia menjadi ahlinya. Melalui bahasa, kita juga dapat mengenal budaya, budi bahasa, sistem nilai, akhlak, dan kelakuan manusia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Leave a Reply