Gangguan Bahasa Ibunda

Oleh Mohd. Helmi Ahmad

Bahasa berperanan penting dalam kehidupan manusia. Manusia menggunakan bahasa untuk pelbagai tujuan, seperti untuk perhubungan, berkomunikasi, menyatakan pendapat, mendapatkan maklumat, meluahkan perasaan dan berhibur.

Untuk tujuan tersebut, manusia menggunakan sama ada bahasa ibunda ataupun bahasa kedua sebagai perantaranya. Bahasa ibunda merupakan bahasa pertama yang diperoleh sejak lahir, manakala bahasa kedua diperoleh melalui pembelajaran. Setiap manusia akan memperoleh bahasa pertamanya dahulu sebelum mempelajari bahasa kedua.

Kanak-kanak yang normal akan memperoleh bahasa pertamanya dalam jangka waktu umur antara dua hingga enam tahun. Pemerolehan bahasa tetap berlaku walaupun bahasa yang didengar oleh kanak-kanak tidak gramatis atau mengandungi kesalahan struktur dan kosa kata.

Menurut Chomsky, kanak-kanak yang memperoleh rangsangan bahasa akan memberikan tindak balasnya. Mindanya lengkap dengan alat pemerolehan bahasa yang semula jadi. Chomsky menamakan alat ini LAD atau Language Acquisition Device (peranti perolehan bahasa). LAD merupakan ciri khas minda manusia yang tidak terdapat pada makhluk lain. LAD mengandungi tatabahasa sejagat. Oleh itu, banyak ciri tatabahasa bahasa pertama yang tidak perlu dipelajari secara sedar. Dengan konsep tatabahasa sejagat, diandaikan bahawa struktur dan pola bahasa yang ada dalam minda kanak-kanak sama bagi semua bahasa di dunia dan bersifat universal.

Menurut Chomsky lagi, oleh sebab semua orang mempunyai LAD, maka kanak-kanak tidak perlu menghafal dan meniru pola ayat bahasa ibundanya untuk menguasai bahasa tersebut. Kanak-kanak dapat menuturkan ayat yang baharu dengan menerapkan kaedah tatabahasa yang diketahuinya secara tidak sedar daripada LAD.

Lain pula halnya dengan kanak-kanak yang mempelajari sesuatu bahasa sebagai bahasa kedua. Kanak-kanak akan mengalami kesukaran kerana semasa mempelajari bahasa kedua, mereka tidak membentuk konsep yang baharu kecuali konsep itu di luar budaya. Ditambah pula sistem bahasa yang sedia ada sentiasa mengganggu sistem bahasa yang dipelajari.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Leave a Reply