Buat Duit dengan Bahasa

Oleh Nimoiz T.Y

Buat duit” dengan bahasa bukanlah bermaksud kegiatan manipulasi bahasa untuk tujuan perdagangan. Atau lebih teruk lagi jika kita menggunakan istilah menjual bahasa untuk kepentingan material. Sebaliknya, tujuan utamanya adalah untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya sekali gus memperoleh hasil yang lumayan.

Industri bahasa tidaklah terhad kepada bidang penulisan semata-mata. Sektor bahasa menjangkau sangat jauh, daripada yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besar bidang yang merangkumi penerbitan akhbar dan majalah, penghasilan buku teks, pengiklanan, perfileman, penulisan teks ucapan, penciptaan moto, penciptaan slogan dan penjenamaan produk. Oleh itu, anggapan bahawa bahasa Melayu hanya sesuai untuk penulis, editor dan guru bahasa sahaja memang tidak tepat sama sekali. Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga memerlukan kemahiran berbahasa yang cemerlang semasa mengendalikan mesyuarat atau memberikan ucapan.

Industri Bahasa merupakan salah satu penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Namun, banyak orang yang tidak sedar akan sumbangan bahasa Melayu. Mereka membuat tanggapan bahawa bahasa bukanlah industri mapan utama, seperti sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan pelancongan. Bezanya, industri bahasa tidak dapat dilihat secara nyata, seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Oleh sebab itulah, industri bahasa Melayu sering dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Tanpa disedari, peluang membuat duit dengan bahasa ini direbut oleh sesetengah orang sahaja. Industri pengiklanan misalnya, hanya direbut oleh orang Cina yang tahu mengambil peluang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Leave a Reply