Potensi Masa Hadapan

Oleh Indirawati Zahid

Mempelajari bahasa tidak akan pernah merugikan pelajarnya. Bahasa sebagai alat komunikasi tidak akan pernah menggagalkan mana-mana individu dalam proses komunikasi yang berlangsung. Syaratnya, seseorang individu itu benar-benar menguasai bahasa yang dipelajari dari segala aspek seperti budaya dan masyarakat, selain aspek utama dalam bahasa, iaitu nahu.

Sama ada bahasa yang dipelajari itu merupakan bahasa pertama (natif) ataupun bahasa asing, bahasa kedua mahupun ketiga dan seterusnya, menguasai bahasa pada tahap yang cemerlang akan menjadikan seseorang individu itu berada dalam konteks bebas konflik apabila berinteraksi. Hubungan bahasa yang akrab dengan budaya dan masyarakat akan memudahkan sesuatu komunikasi berlangsung kerana tidak semua yang ada hubungan dengan budaya dan masyarakat dapat dimuatkan dalam buku tatabahasa sesuatu bahasa.

Melihat senario yang berlaku hari ini, mempelajari dan menguasai bahasa ternyata menyediakan banyak peluang pekerjaan dan pulangan pendapatan yang lumayan. Antara bidang yang boleh diceburi termasuklah bidang pendidikan, hiburan, pengurusan, perubatan, dan pelancongan.

Mempelajari dan menguasai bahasa akan menyediakan banyak peluang dalam dunia pendidikan, seperti menjadi guru bahasa, tutor bahasa, pensyarah bahasa, penyelidik bahasa dan juga jurubahasa.

Menjadi guru, tutor, atau pensyarah, semuanya akan membantu melahirkan generasi baharu yang peka dengan keperluan menguasai bahasa yang baik. Bidang pekerjaan seperti ini tidak akan berkurang permintaannya sekali gus akan membuka peluang pekerjaan yang tinggi juga. Sementara itu, pekerjaan sebagai penyelidik bahasa akan menyediakan ruang penerbitan buku terkini tentang penyelidikan dan ini juga akan menyumbang kepada penambahbaikan yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa tentang sistem pendidikan yang akan dilaksanakan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Leave a Reply