Sedikit tetapi Banyak

Menyedari tentang risiko bahasa peribumi yang terdedah kepada kepupusan, maka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan tahun 2019 sebagai Tahun Bahasa Peribumi.

     Pengisytiharan ini bertujuan menarik perhatian dan kesedaran dunia tentang kepentingan bahasa peribumi sebagai subjek global, yang melibatkan ancaman kepupusan bahasa peribumi dan keperluan penting serta mendesak untuk memulihara, menyuburkan serta mempromosikan bahasa peribumi.

    Berdasarkan kajian, kini terdapat 6809 bahasa peribumi yang masih hidup. Pengkaji bahasa peribumi mendedahkan bahawa sebanyak 90 peratus daripada jumlah tersebut mepunyai kurang daripada 100 000 orang penutur.

    Dapatan ini bermakna bahawa terdapat kira-kira 6100 bahasa peribumi yang diancam kepupusan. Dari segi jumlah penutur, didapati 46 bahasa mempunyai seorang penutur, manakala 357 bahasa mempunyai kurang daripada 50 orang penutur.

     Hal yang sama turut berlaku terhadap bahasa peribumi di Malaysia. Sebagaimana yang disentuh oleh Dr. Mohd Sharifudin Yusop dalam ruangan “Temu bual Bahasa” (halaman 30-33), berdasarkan dapatan kajian beliau terhadap 18 suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia, kosa kata bahasa Orang Asli berjumlah 3000 hingga 5000 sahaja berbanding dengan bahasa Melayu yang mencecah sejuta lebih kosa kata.

    Dengan jumlah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang dianggarkan 200 000 orang, ada sesetengah orang bertanggapan sinis terhadap bahasa masyarakat peribumi.

    Dalam hal ini, dengan jumlah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang kecil ini, ada sesetengah orang yang berpendapat bahawa bahasa peribumi tidak signifikan dengan arus perdana kerana tidak mempunyai nilai ekonomi dan tidak komersial. Sedangkan bahasa peribumi mempunyai potensinya dan manfaatnya, khususnya yang berkaitan dengan kearifan tempatan.

    Dalam bahasa peribumi terkandung kesedaran kolektif masyarakat yang menyimpan warisan ilmu pengetahuan sejarah budaya, tradisi, jati diri dan kenangan unik manusia.

Asal ada, kecil pun pada.

Ritah Yahaya

Leave a Reply