2

“Bahasa Inggeris Tidak Menyumbang kepada Sains dan Teknologi.”

2

Profesor Dato’ IR. Dr. Wan Ramli bin Daud diiktirafkan “Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia 2015“. Beliau merupakan mantan Pengarah Pengasas Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2007-2014. Kini, beliau merupakan Profesor Kejuruteraan Kimia di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM dan Felo Penyelidikan (Lantikan Bersama) di Institut Sel Fuel, UKM.

     Baru-baru ini, Editor Dewan Bahasa (DB) Ritah Yahaya dan Penolong Editor, Siti Nur Hidayah Othman Bakar berpeluang menemu bual beliau mengenai bahasa Melayu dalam sains dan teknologi.

DB: Bolehkah Profesor Dato’ ceritakan secara belakang pendidikan Profesor Dato’?

PDW: Saya dilahirkan di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 1955. Bapa saya merupakan seorang anggota polis, ibu saya pula seorang suri rumah. Saya anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Sebagai keluarga polis pada Zaman Darurat, kami kerap berpindah-randah dari Gurun, Kedah, Ipoh dan Taiping, Perak.

      Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Connolly, Ipoh (1961-1965). Kemudian, saya belajar di Sekolah Kebangsaan Taiping (1966-1967). Pada tahun 1967, saya menduduki peperiksaan untuk ke sekolah berasrama penuh beraliran Inggeris, dan saya terpilih melanjutkan pelajaran di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim, Perak (1968-1971), dan di SDAR, Seremban (1972-1973).

DB: Apakah faktor yang menarik minat Profesor Dato’ terhadap sains kejuruteraan?

PDW: Saya mula berminat dengan bidang sains ketika di sekolah menengah, iaitu di SDAR. Minat awal saya dalam sains bermula di Perpustakaan SDAR. Saya menghabiskan kelas persiapan petang dan malam saya di situ.

     Selain novel sains fiksyen klasik karya Jules Verne dan Edgar Rice Burrough, Siri McGraw-Hill Encyclopedia of Science and Technology dan Siri Science Time -Life telah membuka sebuah dunia baharu telah membuka sebuah dunia baharu sains yang mengagunkan. Saya juga aktif dalam Persatuan Sains SDAR (1972-1973), dan menjadi presiden persatuan tersebut pada tahun 1972.

     Saya sangat tertarik dengan teknologi roket selepas membaca risalah NASA mengenai misi angkasa lepas Amerika Syarikat yang dibekalkan oleh Lincoln Centre di Kuala Lumpur. Wira sains saya ketika itu ialah Dr. Werner von Braun, ahli sains roket Jerman yang membina roket, Saturn V. Roket tersebut membantu pendaratan angkasawan Amerika Syarikat yang pertama di bulan dalam projek Apolla. Saya cuba membina beberapa batang roket kecil daripada mercun di rumah, tetapi kurang berjaya dan nyaris membakar rumah.

    Saya juga berminat dengan teknologi sel fuel (bahan api fosil) yang menghasilkan tenaga elektrik daripada hidrogen yang pertama kali digunakan dalam kapsul angkasa lepas Amerika Syarikat, Gemini yang kini menjadi bidang utama penyelidikan saintifik saya.

Temu bual ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa bulan Mac

Leave a Reply