“Bahasa Melayu sebagai Kebanggaan Budaya.”

Baru-baru ini Editor Dewan Bahasa (DB) berpeluang menemu bual Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, pensyarah di Jabatan Sosiobudaya dan Kesenian, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya tentang ilmu tempatan (local knowledge), kepandaian tempatan (local genius), ilmu asli (indigenous knowledge), ilmu tradisi (traditional knowledge), dan ilmu ekologi (ecological knowledge). Ikuti temu bual Penolong Editor DB, Siti Nur Hidayah Othman Bakar dengan Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.

DB: Boleh Dr. definisikan kearifan tempatan atau local wisdom? Bolehkah Dr. berikan contoh?

DAA: Kearifan tempatan merujuk kombinasi pengetahuan dan tradisi masyarakat yang spesifik seperti kebijaksanaan cerdik pandai dalam lingkungan setempat sama ada peringkat kampung, daerah mahupun kawasan yang luas seperti negeri atau sejagat. Kebijaksanaan ini dapat dilihat dalam usaha memenuhi keperluan hidup bermasyarakat di samping kepentingan kelangsungan bersama. Hasilnya dapat dilihat dalam ilmu-ilmu setempat yang dibangunkan oleh golongan cerdik pandai. Contohnya makanan kesihatan seperti herba, ulam dan sayur untuk mencegah penyakit kencing manis dengan menggunakan peria katak yang direbus mampu mengurangkan kadar gula dalam badan.

       Selain itu juga, pengetahuan dan tradisi dikembangkan dalam konteks yang lebih moden seperti contoh sayur peria itu dibuat dalam bentuk kapsul, air jus, dan serbuk. Produk makanan yang menggunakan ulam-ulaman sebagai bahan dalam coklat merupakan hasil inovasi sekumpulan pelajar dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Shah Alam.

….

DB: Kearifan tempatan secara individu dan sosial memunculkan watak dan sikap. Kearifan temapatn diharapkan mampu memberikan sumbangan dalam pembinaan watak masayrakat (character building). Bolehkah Dr. jelaskan?

DAA: Kearifan tempatan ini bersifat sejagat dan boleh dikongsi bersama-sama, misalnya sukan American Football yang merupakan gabungan sukan bole sepak dan ragbi. American Football yang menjadi sukan kebanggaan rakyat Amerika Syarikat, dimainkan pada musim luruh. Peraturan kaedah bermain American Football disejagatkan walaupun bola sepak bermula di United Kingdom. American Football dikembangkan ke serata dunia melalui penganjuran Internatinal American Football.

….

DB: Kearifan tempatan, termasuk ritual, muzik, sastera, bahasa, seni, pertukangan, dan sebagainya, membentuk imej, identiti dan nilai masyarakat. Bolehkah Dr. huraikan?

DAA: Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai bentuk kearifan tempatan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Di samping kearifan yang bersifat fizikal seperti teknologi, seni makan, ukir dan pertukangan Melayu, terdapat juga kearifan yang bukan bersifat kebendaan, antaranya termasuklah seni mempertahankan diri, bahasa, ilmu pengetahuan, dan seumpamanya. Secara mudahnya, identiti dan nilai masyarakat membentuk pengetahuan asas yang diperoleh daripada pengalman hidup dan hasil berinteraksi dengan alam semula jadi. Hal ini juga berkait rapat memahami keadaan lingkungan alam sekitar, yang kemudiannya melakukan adaptasi terhadap keadaan sedia da. Kearifan tempatan boleh wujud dalam bentuk konkrit dan abstrak, tetapi ciri yang penting ialah diperoleh hasil daripada kebijaksanaan masayarakat setempat melalui pengalaman kehidupan.

Temu bual ini dipetik dari majalah Dewan Bahasa bulan Februari

Leave a Reply