Apakah yang Ada pada Nama?

Bahasa dan Falsafah

Oleh MOHD TARMIZI HASRAH

Apakah yang ada pada nama? Barangkali, pertanyaan ini nampak seperti terlalu mudah. Akan tetapi, sifatnya yang sedemikian sering memerangkap cerapan kita, khususnya jika memandangnya dengan pandangan yang remeh. Namun begitu, apakah yang ada pada nama hingga kita perlu bertanya? Bukankah segala-galanya sudah memadai jikalau kita berupaya memanggil seseorang atau menyebut sesebuah tempat dengan namanya dan dengan gelarannya, sama ada dengan nama si Abu mahupun dengan gelar Sintok?

      Pertanyaan apakah yang ada pada nama dalam perbincangan ini adalah berkait dengan pertanyaan apakah maknanya apabila kita memberikan sesuatu atau seseorang dengan nama, misalnya si A dengan nama Abu, atau tempat C dengan nama Sintok, lantas kita memanggilnya dan menyebutnya dengan nama tersebut?

      Kita memanggil seseorang dengan namanya. Akan tetapi, apakah yang sebenarnya kita panggil? Nama atau jasadnya? Begitu juga dengan tempat, umpamanya Sintok, apakah yang terkandung dalam nama ini? Apabila kita menyebut atau menulis “Sintok”, apakah yang muncul dalam kesedaran kita? Nama Sintok atau gambaran fizikal sebuah tempat yang bernama Sintok? Hanya nama? Atau, hanya jasad?

     Jika hanya nama, hal ini bernmaksud bahawa yang kita panggil itu sebenarnya tanda, yakni sesuatu yang hanya mengandungi lambang dan bunyi: lambang dalam maksud ini seerti dengan perkataan, dan bunyi ialah lafaz sama ada yang diujarkan ataupun ditulis. Jika seseorang atau sesuatu benda yang dipanggil itu hanyalah jasd dan hanyalah pemunculan fizikal, maka mengapakah nama ditempelkan padanya? Cukuplah sekadar melambai-lambai, menyentuh, atau mencerap dengan pacaindera terhadapnya; atau yang sebenarnya bukan nama dan jasad yang mampir secara berasingan, tetapi kedua-duanya, iatu nama dan jasad yang hadir apabila apabila sesuatu nama diujarkan.

Petikan ini diambil  dari majalah Dewan Bahasa terbitan Januari

Hantar Maklum Balas

You must be logged in to post a comment.