Kalau Kurang, Ditambah…

 

Tidak berapa lama lagi, kita akan meninggalkan tahun 2018, dan melangkah ke tahun 2019. Setiap kali menjelangnya tahun baharu, kebanyakan kita akan memasang tekad atau azam bahaaru, tidak kiralah sama ada azam tahun lepas yang belum tercapai, yang dibawa ke tahun baharu ataupun azam baharu yang dicipta untuk tahun baharu. Apapun keadaannya, kedua-duanya masih boleh dianggap azam baharu.

        Merperkatakan tekad atau azam, Dewan Bahasa (DB), Disember 2018 mencuri perhatian pembaca dengan peringatan terhadap tekad dan iltizam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita, Malaysia.

       Dr. Sarjit S. Gill menerusi makalah beliau, “Iltizam dan Tekad Bahasa Kebangsaan” menyentuh aspirasi “Bahasa Jiwa Bangsa” yang perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan iltizam, semangat, citra, dan tekad yang perlu disematkan serta dipraktikkan oleh masyarakat, dan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diteruskan serta diteruskan serta diberikan sokongan oleh semua pihak dan semua lapisan masyarakat. “Bahasa Jiwa Bangsa” bersendikan perpaduan yang perlu kita lalui bersama-sama dengan harmoni.

      Menurut Sarjit, kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pembangunan demi pembinaan tamadun Malaysia. Bahasa Melayu boleh terus maju sekiranya semua pihak memainkan peranan dan bukannya meremehkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pembangunan di Malaysia.

Ritah Yahaya

Petikan dari Bicara Bahasa dalam majalah Dewan Bahasa Disember

Leave a Reply