Merungkaikan Akronim Polemik

Oleh NIK NOR AHMARIZAM NIK AHMAD

Dalam meniti arus modenisasi yang kian rencam ini, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, bahasa, dan agama, seyogia mempunyai minda yang berfikiran terbuka dan tidak jumud serta bersiap siaga untuk bersaing dengan masyarakat di negara maju dalam apa-apa jua bidang yang diceburi kini.

                Pada masa yang sama, jiwa nan luhur setiap rakyat Malaysia senantiasa dituntut untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dengan sebaik-baiknya dalam sebarang disiplin ilmu. Hal ini bertepatan dengan pandangan Profesor Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman, iaitu kepentingan memartabatkan bahasa Melayu bukan hanya untuk mendepani Revolusi Industri Keempat, bahkan untuk memastikan sahsiah, keperibadian, jati diri, dan nilai masyarakat penuturnya dimantapkan seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.

               Menurut Rusmadi Baharudin pula, sebagai pengguna bahasa, kita haruslah ada rasa tanggungjawab untuk tidak menggunakan bahasa itu secara semberono dan sewenang-wenang; bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyampaikan maklumat. Oleh hal yang demikian, kenyataan bahawa ketepatan dan aturan dalam bahasa tidak penting dan asal sahaja maklumat yang disampaikan itu dapat difahami, adalah tidak tepat dari segi perkembangan, pemantapan dan pembakuan bahasa itu.

           Kemantapan dan kebakuan sesuatu bahasa tidak akan wujud seandainya pengguna bahasa terus-menerus menggunakan bahasa yang rancu dan tidak mempedulikan kaedah dan aturan bahasa itu. Sikap sesetengah pengguna bahasa yang secara terang-terangan mengubah bentuk ungkapan atau perkataan hingga menjadi bentuk yang lain dan merosakkan aturan dan kaedah bahasa itu akan menghambat proses pemantapan bahasa.

     Bicara ilmiah pada kali ini akan memfokuskan polemik penggunaan kata nama akronim dalam kalangan pengguna bahasa Melayu yang sohor kini ditularkan lewat media massa tempatan, antaranya termasuklah akronim “certot”. Sudah terang lagi bersuluh, ibarat kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya. Pengguna bahasa Melayu, terutamanya pejuang bahasa Melayu dan orang perseorangan telah menzahirkan pelbagai komentar dan pandangan melalui laman sosial masing-masing berhubung dengan pengenalan akronim “certot” itu.

Leave a Reply