Kalau Sungguh Bagai Dikata …

Penulis meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sama seperti jutaan orang lain dari pelbagai bangsa di pelosok dunia. Penulis dan P. Ramlee berasal dari negeri yang sama – Pulau Pinang. Namun begitu, penulis tidak ditakdirkan menjadi seniwati, tidak seperti Seniman Agung itu. Penulis menyentuh kisah P. Ramlee kerana beliau seniman bitara. Kegeniusan dan kreativiti P. Ramlee yang tinggi jelas terpancar menerusi mahakarya beliau, sama ada lagu ataupun filem, yang memberikan impak kepada integrasi kaum, nilai sejagat, nilai sepunya, keharmonian dalam masyarakat, dan nilai murni yang dapat dipraktikkan oleh masyarakat.

          Sebenarnya, jika direnungkan banyak lagu dan filem P. Ramlee yang malar segar itu menyentuh sosiolinguistik, khususnya bahasa dan kebahasaan Melayu. Hal ini dijelmakan oleh P. Ramlee dengan bantuan sahabat beliau seperti Allahyarham S. Sudarmaji, Allahyarham Datuk Jamil Sulong, Allahyarham H. M. Rohaizad, Sasterwan Negara Allahyarham Usman Awang, Yusnor Ef, dan lain-lain melalui lagu, lirik lagu dan skrip filem yang kaya dengan nilai dan akal budi Melayu. Genre lagu, seni kata lagu dan filem P. Ramlee diwarnai dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain yang mengangkat estetika bahasa dan kepuisian Melayu. Semua unsur ini diperlihatkan dengan jelas menerusi lirik lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Hancur Badan Kandung Tanah, Engkau Laksana Bulan, dan sebagainya.

       Apabila penulis diberikan tanggungjawab selaku pegawai projek Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, penulis memilih rangkaian lagu Seniman Agung yang liriknya relevan dengan BBK. Lagu yang dipilih adalah berkaitan bahasa, yang sarat dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain.

        Pada “Malam Bahasa Jiwa Bangsa” bersempena dengan BBK itu, Azfar Don Zulkamal bin Azmi atau “P. Ramlee Perlis”, yang mirip P. Ramlee sewaktu muda melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Azfar mendendangkan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang. Penulis percaya, ramai orang dalam majlis itu merasakan “kehadiran” P. Ramlee seperti yang dirasai oleh penulis.

RITAH YAHAYA

Leave a Reply