Keintelektualan Berbahasa Melayu Cerminan Cendekia Bangsa

Oleh Jeniri Amir

Kini, ada salah tanggapan dan kesendengan pandangan sesetengah pihak bahawa keintelektualan seseorang diukur dari segi keupayaannya menguasai bahasa kedua, terutama bahasa Inggeris. Bagai kurang cerdik seseorang itu jika hanya pandai dalam bahasa Melayu. Bagai tidak terpelajar seseorang itu jika tidak pandai mengungkapkan diri dalam bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris yang digunakannya ialah bahasa Inggeris yang terhad dan rendah mutunya. Mungkinkah itu sebabnya rakyat Malaysia tidak gemar berbahasa Melayu, malah lebih suka berbahasa Inggeris? Kalaupun mereka bertutur dalam bahasa Melayu, mereka cenderung menyelitkannya dengan kosa kata dan ungkapan dalam bahasa Inggeris.

       Persoalannya, adakah bahasa Melayu sudah mencapai tahap keintelektualan? Adakah menggunakan bahasa Melayu tidak menampakkan keintelektualan? Betulkah hanya dengan menggunakan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris seseorang itu akan kelihatan daya keintelektualan? Bahasa merupakan wadah penting bagi melahirkan insan yang bijaksana. Kearifan dan kebijaksanaan seseorang diukur bukan sahaja dari segi ketinggian ilmunya, tetapi keupayaan mengungkapkan ilmu yang kompleks dan sulit dengan bahasa yang berkesan. Bahasa sebagai wahana yang penting perlu dikuasai jika seseorang mahu muncul sebagai cendekiawan bangsa.

      Dalam dunia yang semakin mencabar, tahap keintelektualan diukur dari aspek kebolehan dan keberkesanan seseorang untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat dan pandangan. Individu berkenaan bukan sahaja perlu memiliki ilmu yang luas dan mendalam dalam bidang yang diperkatakannya, tetapi juga berupaya menyampaikan idea dan pendapat dengan bahasa baku yang memancarkan keintelektualan bahasa. Maksudnya, ilmu yang mendalam dan tinggi perlu disampaikan dengan bahasa Melayu tinggi. Bahasa dan ilmu bergerak seiring. Tanpa penggunaan bahasa Melayu tinggi, walau setinggi mana pun ilmu seseorang itu, keintelektualannya tidak akan terserlah. Keintelektualan ilmu perlu bergandingan dengan keintelektualan bahasa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Leave a Reply