Melangir Busana Bangsa

 

Menapak laman tahun baharu 2018, pastinya membangkitkan persoalan tentang jangkaan masa hadapan yang bakal ditempuhi setelah mengimbau dan menaakul lantunan peristiwa yang dilalui sepanjang tahun 2017. Semestinya sepanjang tahun lalu banyak cerita yang terakam, sama ada yang menggembirakan, membahagiakan, menceriakan, mendukacitakan, memedihkan, memeritkan ataupun yang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam lubuk sanubari seseorang. Dengan mengutip iktibar daripada apa-apa juga pengalaman yang telah dilalui, sudah tentu dicatur dan dirangka gerak kerja yang lebih terancang, strategik, berimpak tinggi dan yang paling utama, mampu menzahirkan hasil yang positif dan membanggakan. Demikianlah lazimnya apabila kita melangkah ke tahun baharu. Azam baharu pasti diilhamkan walaupun azam tahun sebelumnya, sama ada hanya sebahagian mahupun kesemuanya belum lagi dizahirkan.

      Mengalih sedikit sisi pandangan melihat kedudukan masa hadapan bahasa Melayu, pastinya cabarannya yang bakal didepani amat getir dan memeritkan. Bukan sahaja untuk tahun 2018, akan tetapi hampir setiap tahun sebelumnya. Tidak ada satu tahun pun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara tidak digamit pelbagai isu yang menimbulkan polemik dalam kalangan pencinta dan ahli bahasa dengan golongan yang mahukan bahasa kedua, iaitu bahasa Inggeris diangkat ke tahap yang sama, malah jika boleh, lebih tinggi daripada bahasa Melayu. Hal yang sedemikian itu bukan perkara baharu dan bukannya isu baharu. Malah, hal yang sedemikian itu akan terus berlanjutan dan berpanjangan tanpa titik noktah. Lebih memeritkan apabila golongan yang berkepentingan mengheret sama bakal pelapis kepemimpinan negara, iaitu golongan pelajar, sebagai “bahan uji kaji” dalam kancah polemik dengan menautkan sistem pendidikan negara yang selama ini didakwa memberikan keutamaan yang lebih terhadap bahasa kebangsaan sebagai medium pengajaran utama.

Melihat kepentingan bahasa ibunda sebagai medium yang mampu membentuk kemahiran individu seseorang untuk melebarkan kemahiran dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, Carolyn Savage, Ketua Pendidikan Antarabangsa, Pelopor Winter’s School dan pembicara IPSEF antara lain menyatakan, “ bahasa dan bahasa ibunda turut memainkan peranan yang amat besar dalam pembentukan identiti peribadi, sosial dan budaya. Kanak-kanak yang memiliki kekuatan dalam penguasaan bahasa utama mereka, iaitu bahasa ibunda, sering kali mempamerkan pemahaman yang mendalam tentang diri sendiri dan keberadaan mereka dalam masyarakat, disamping memiliki rasa kebertanggungjawaban dan keyakinan yang tinggi. Secara semula jadi, hal yang sedemikian ini akan mengalir dan meresap ke setiap aspek kehidupan mereka, termasuklah pencapaian akademik mereka”. Berdasarkan hakikat inilah, semasa beliau mengajar di Bratislava, Slovakia, beliau menggalakkan anak-anak murid beliau untuk membawa buku dalam bahasa ibunda mereka dan berkongsi dengan rakan-rakan lain apa-apa juga perkara yang terakam dalam buku berkenaan. Daripada pemerhatian beliau, kanak-kanak memilih untuk membaca petikan ringkas dengan nyaring, lantas mempamerkan keupayaan mereka membaca. Hal yang sedemikian ini membina kebanggaan murid-murid terhadap budaya mereka di samping menghormati budaya orang lain.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply