Bahasa Sembang Maya Era Digital

Oleh Mohidin Haji Malek

“Hi gojes, wat pe 2? ”
“Xde wat pe2. X chat bi ”
“La, cian u. ”

Demikian contoh perbualan dalam aplikasi sembang maya antara teruna dengan dara. Contoh perbualan ini berdasarkan pemerhatian terhadap cara berkomunikasi anak-anak muda zaman ini. Melihat akan arah aliran penggunaan bahasa standard dalam perbualan maya, timbul kerisauan bahawa hal yang sedemikian itu akan terbawa-bawa ke perbualan harian di alam nyata. Lebih merisaukan lagi sekiranya “gaya” berbahasa seperti ini menular dalam pembelajaran di bilik darjah dan seterusnya ke dewan peperiksaan. Hal yang sedemikian ini bukan rekaan semata-mata untuk mewajarkan ahli dan pencinta bahasa melontarkan kegusaran mereka terhadap hakisnya sikap kekesateriaan terhadap bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, di samping melunturkan jati diri masyarakat.

     Tatkala teknologi semakin mempengaruhi kehidupan manusia, kaedah penyampaian maklumat semakin ringkas dan padat melalui kaedah pendigitalan. Kehidupan semakin pantas kerana teknologi mengurangkan masa sama ada untuk berkomunikasi mahupun memperoleh maklumat. Lantaran itu, dengan teknologi baharu seperti penghantaran mesej segera dan teks, penggunaan ayat lengkap dan gramatis serta pengejaan perkataan penuh tidak lagi perlu. Apabila seseorang menaip, maklumat yang ingin disampaikan akan diringkaskan seringkas-ringkasnya. Akibat daripada hal yang sedemikian itu, kegramatisan bahasa penyampaian maklumat tidak lagi diambil kira, apatah lagi
kaedah yang sedemikian ini tidak mengambil kira aspek intonasi dan penekanan. Disebabkan perkembangan teknologi masa kini tidak dapat dielakkan, kita tidak lagi memberikan perhatian mahupun menghiraukan “kemampatan” dalam komunikasi alam maya. Sebaliknya, kita seakan-akan memberikan “restu” dan membenarkan gejala yang sedemikian ini berleluasa apabila kita sendiri, sama ada secara sengaja atau tidak, turut “berkolaborasi” dalam “pencabulan” kemurnian bahasa ibunda kita sendiri.

      Hal ini dikatakan sedemikian kerana, dalam keghairahan kita untuk “menyelaraskan” atau “menyamatarafkan” kedudukan kita agar tidak berlaku jurang besar antara generasi analog dengan generasi digital, kita turut terpengaruh dengan gaya penulisan yang rancu dan cacamarba. Masakan tidaknya, apabila kita berkomunikasi dengan anak-anak kita melalui aplikasi sembang maya, kita lebih cenderung untuk turut sama meringkaskan ayat dan ejaan agar kefahaman dalam sistem komunikasi itu tidak terjejas. Di samping itu, kita cuba memahami setiap “kod” atau “istilah” yang mereka gunakan agar kita mampu mengawal dan mengetahui apa-apa juga butiran perbualan sesama rakan mereka. Dengan berkomunikasi mengikut cita rasa anak-anak, kita mengharapkan akan “diterima” dalam kumpulan sembang maya mereka serta tidak dianggap kolot. Hal yang sedemikian ini bukan sahaja berupa “persekongkolan” yang amat membimbangkan, akan tetapi satu amalan yang jika tidak dikawal dan dibendung, akan mencabul kemurnian bahasa ibunda kita yang akhirnya akan “menghapuskan” bahasa Melayu. Sebagai ibu bapa, sewajarnya kitalah yang harus memberikan contoh yang baik dalam penggunaan bahasa yang betul dan gramatis. Namun, hal yang sebaliknya berlaku dan tanpa disedari kitalah yang menghakiskan jati diri generasi baharu dalam aspek menyuburkan kecintaan terhadap bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply