Gelora Penghujung Musim

 

Disember 2017 kian hampir melabuhkan tirainya. Setahun bersiaran, sekian banyak isu dan persoalan yang dipaparkan untuk menyuntik kesedaran pembaca tentang nasib bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, di samping memugar rasa kecintaan terhadap bahasa ibunda berkenaan. Namun, dalam keghairahan untuk melonjakkan martabat bahasa ke persada yang lebih tinggi, pelbagai hambatan dan cabaran yang harus didepani. Umpama berlayar di samudera luas, bahtera bahasa terumbang-ambing dilanda ribut taufan. Pastinya hal yang sedemikian itu menguji kekentalan, kebitaraan dan kecendekiaan nakhodanya mengemudi bahtera mengharungi keadaan genting. Andai tersilap caturannya, bahtera yang termuat dengan khazanah bangsa akan berkecai dan serpihannya berkubur di dasar laut.

      Akhir-akhir ini, bahasa Melayu bukan lagi dilihat sebagai agenda utama dalam ranah primer negara. Walaupun kedudukannya telah dimaktubkan sekian lama dalam dokumen  perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, namun hal yang sedemikian itu tidak membawa wajaran yang berat. Bahasa Melayu dikatakan sebagai “hanya satu bahasa”, dan tanpanya apa-apa juga urusan masih mampu dilaksanakan dengan jayanya. Terdapat bahasa-bahasa atau dialek-dialek lain yang mampu menggalas tugas yang sekian lama diwartakan kepadanya. Namun demikian, pertaliannya dengan soal kebangsaan, maruah, jati diri, konsensus, kefahaman serta keharmonian tidak pernah atau sengaja tidak mahu dimengertikan. Bagi sesetengah pihak, bahasa dalam era globalisasi harus mengutamakan aspek nilai tambah yang mampu menganjak negara ke status yang lebih tinggi. Biar tinggi mengawan waima harus menggadai bahasa sendiri yang menjadi nadi penggerak jiwa sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat.

      Menyentuh tentang kepentingan bahasa asli, Micheal Zimmerman, pengasas dan pengarah The Clergy Letter Project, menyatakan

“… apabila kita kehilangan satu bahasa, kita kehilangan pandangan sejagat, kebudayaan dan pengetahuan kelompok yang menuturkannya, membawa kepada kemusnahan terhadap kemanusiaan keseluruhannya. Manusia sejagat hidup dalam persekitaran asli dan habitat mereka. Apabila bahasa yang mereka tuturkan pupus, seluruh manusia hilang ilmu pengetahuan tentang persekitaran mereka, kebitaraan tentang pertalian tumbuhan tempatan dengan penyakit, kepercayaan filsuf dan keagamaan serta pencitraan budaya (muzik, seni tampak dan puisi) yang memperkaya sama ada penutur bahasa tersebut mahupun mereka yang melihat budaya berkenaan”.

Jelas bahawa bahasa asli berperanan untuk menyebarluaskan apa-apa juga ilmu tanpa mengira sama ada bahasa berkenaan dituturkan oleh kelompok yang sedikit bilangannya atau sejagat jumlahnya. Oleh sebab itu, bahasa Melayu, dengan melihat perspektif ini, mampu berperanan dalam penyebaran kebitaraan dan rahsia alam Melayu kepada masyarakat dunia. Tidak hairanlah andai kata bahasa Melayu suatu masa dahulu mampu menjadi lingua franca yang dituturkan oleh pendatang asing. Kebitaraan pemikiran tokoh silam dicungkil dan dibawa lari melalui penguasaan bahasa Melayu yang sememangnya tinggi nilai tambahnya.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply