Bahasa Menjulang Peradaban Bangsa

Oleh DILAH TUAH

      Kepentingan bahasa dalam pembentukan tamadun manusia tidak dapat dinafikan. Sejak dahulu lagi, bahasa telah menjadi alat komunikasi utama untuk memacu kemajuan fizikal dan rohani manusia. Dalam sejarah awal peradaban manusia, bahasa dan sistem tulisan telah menjadi salah satu ciri terpenting bagi sesebuah tamadun. Hal ini dikatakan sedemikian kerana melalui bahasa dan tulisan, sejarah peradaban manusia dapat direkodkan dan dicatatkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang. Di samping itu, kedudukan bahasa sebagai penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa amat berkaitan dengan perkembangan kebudayaan, pendidikan, sistem pengetahuan, organisasi sosial, kesenian dan sistem keagamaan. Sehubungan dengan itu, bahasa bukan sekadar berperanan sebagai alat komunikasi sosial dalam sesebuah masyarakat, tetapi turut menjadi kayu ukur untuk menentukan status dan kedudukan sesebuah tamadun bangsa.

     Di Mesopotamia, iaitu sebuah tamadun awal di dunia yang terletak di antara sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3500 sebelum Masihi, sistem bahasa dan tulisan telah berkembang dengan pesat. Hal yang sedemikian ini dapat dibuktikan melalui penemuan artifak dalam bentuk tulisan bergambar yang dikenali sebagai tulisan cuneiform. Selain itu, bahasa Sumeria yang menjadi bahasa utama pada zaman awal tamadun Mesopotamia telah digunakan secara meluas dalam semua bidang sebelum digantikan oleh bahasa Akkadian sekitar tahun 2000 sebelum Masihi. Kewujudan sistem tulisan dan bahasa ini, jelas membuktikan adanya satu sistem bahasa yang utuh dalam peradaban masyarakat Mesopotamia. Menurut Kathleen Kuiper (2011) dalam Mesopotamia: The World’s Earliest Civilization, tulisan cuneiform bukan sahaja digunakan dalam urusan pentadbiran negara, malah turut digunakan dalam urusan perdagangan.

      Di samping itu, dalam bidang kesusasteraan, cuneiform turut digunakan untuk menghasilkan epik Gilgamesh yang mengandungi falsafah dan cara hidup masyarakat Mesopotamia. Dalam bidang perundangan pula, tulisan cuneiform telah digunakan oleh pemerintah Mesopotamia, untuk merakamkan kod-kod peraturan atau undang-undang yang dikenali sebagai Kod Hammurabi. Perkembangan sistem tulisan dan bahasa dalam masyarakat Mesopotamia telah membawa kewujudan sistem pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan jurutulis, dan seterusnya merakamkan sejarah kegemilangan peradaban Mesopotamia. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tanpa tulisan dan bahasa, mustahil bagi para sarjana dan pengkaji untuk meneliti sejarah peninggalan masyarakat Mesopotamia yang berusia lebih ribuan tahun dahulu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Leave a Reply