Memugar Kesedaran, Mempersegar Kecintaan

Oleh ABANG PATDELI ABANG MUHI

    Prakarsa untuk mempertahankan dan mengekalkan status quo bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 akan terus disemarakkan meski harus berhadapan dengan aneka ragam kerenah, olah dan tingkah negatif pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

     Usaha-usaha pengembangan, pemasyarakatan dan pemantapan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perhubungan, pendidikan, pentadbiran, pemerintahan, persuratan dan perpaduan juga akan terus diperluas melalui aneka kaedah dan pendekatan, kendatipun harus menyongsong arus cauvinisme, negativisme dan liberalisme bahasa daripada pelbagai kelompok masyarakat.

    Penganjuran Bulan Bahasa sejak sekian lama sebagai salah satu kaedah untuk memugar kesedaran dan mempersegar kecintaan rakyat terhadap kepentingan dan kewibawaan bahasa kebangsaan sememangnya senantiasa mendapat sambutan, perhatian, pandangan dan kritikan pelbagai pihak yang harus ditanggapi dengan berlapang dada, serta dengan hati dan fikiran yang terbuka.

     Kelompok yang pertama berpandangan bahawa penganjuran Bulan Bahasa atau kini dikenali sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) tidak perlu diadakan lagi dengan alasan kegiatan seperti itu sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa, sudah tidak mendapat sambutan dan sudah tidak ada keajaibannya. Ada juga pandangan yang lebih ekstrem dengan mengatakan bahawa pengadaan BBK itu suatu pembaziran dan membuang masa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Oktober

Leave a Reply