Kemerdekaan Nan Terbelenggu

 

Kobar semangat kembali membara menjelang Bulan Kemerdekaan. Imbasan perjuangan generasi silam untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah kembali berlegar dalam ingatan. Begitu juga laungan keramat Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang melambangkan terurainya rantai belenggu kuasa asing dan bermulanya lembaran baharu yang menyaksikan anak watan memegang tampuk kerajaan yang berlandaskan prinsip demokrasi berparlimen. Saat itulah titik permulaan yang menyaksikan termeterainya konsensus dalam kalangan masyarakat berbilang kaum untuk mencapai kesepakatan demi menjamin pengekalan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian.

       Tempoh 60 tahun mengecapi sari kemerdekaan menyaksikan negara beranjak dari satu tahap ke satu tahap pencapaian yang membanggakan sehingga dunia mula membuka mata akan keberadaan negara kecil bernama Malaysia dalam kancah politik dunia. Suara lantang pemimpin negara ada ketikanya menyentak kuasa-kuasa besar dunia di samping menyisip kebimbangan dalam kalangan kuasa tertentu akan kebangkitan negara dalam kancah politik dunia yang penuh sandiwara. Hal yang sedemikian ini memperlihatkan bahawa negara kita bukanlah negara kecil yang boleh dikotak-katikkan.

        Namun, dalam keterujaan kita untuk membina nama dan kedudukan dalam kancah politik antarabangsa, beberapa perkara yang telah disepakati sejak tercapainya kemerdekaan semakin terabai dan disisihkan. Kontrak sosial yang dipersetujui secara konsensus, sama ada secara sedar atau tidak, dicemari. Hal yang sedemikian ini berlaku disebabkan wujudnya perasaan taasub yang kian menebal akibat kepercayaan dan keyakinan sesetengah golongan bahawa apa-apa juga unsur yang datang dari luar dianggap lebih baik dan berprestij.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply