Mengetuk Pintu Bahasa

 

Bijak pandai ada berkata, untuk mengenal hati budi sesebuah bangsa, selamilah bahasanya. Lidah bijak pandai bukanlah sembang-sembang biasa di kedai-kedai atau warung-warung kopi. Bijak pandai meneliti dan mentafsir dengan mata hati tanpa rasa prejudis sebelum sesuatu ungkapan diutarakan. Andai ditelaah dan dikaji dengan mendalam, kebanyakan kenyataan yang dilontarkan ada kewajaran dan ketepatannya. Dalam konteks ungkapan di atas, kita perlu melihat pelbagai sisi dan dimensi sebelum apa-apa juga pandangan yang ingin kita lontarkan.

         Bahasa diumpamakan sebagai jiwa sesebuah bangsa. Hal yang sedemikian ini membawa maksud bahawa bahasa itu roh yang mencitrakan keperibadian sesuatu bangsa. Apabila seseorang itu berkata-kata, keperibadiannya tergambar melalui pemilihan kata, pembentukan ayat, penyisipan kias dan perumpamaan, intonansi, jeda, perasaan, dan sebagainya. Citra peribadi ini akan berkembang sekiranya masyarakat sekelilingnya berkomunikasi secara serupa. Seterusnya perkembangan itu akan melebar sehingga peringkat yang lebih luas dan pengaruhnya tidak akan terhenti setakat itu sahaja. Malah, tidak mustahil andai kata peluasan pengaruhnya melewati garis persempadanan negara.

          Dengan mengambil iktibar perkembangan bahasa Melayu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, nilai kesopanan dan kesantunan berbahasa merupakan elemen yang menyerlah. Hal yang sedemikian ini menyebabkan bahasa Melayu dipandang tinggi oleh kalangan pedagang yang mendapati bahawa berkomunikasi dengan penduduk tempatan amat mudah dan menyenangkan. Kemegahan berbahasa dalam kalangan penduduk tempatan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang murni dan berwibawa. Dimensi ini jarang-jarang diketengahkan, namun amat besar impak dan peranannya untuk memastikan kemandirian sesuatu bahasa.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply